NATIONAL

Permohonan komital terhadap Ahmad Terrirudin pramatang, rayuan Najib masih berjalan - AGC

Bernama 23/05/2025 | 05:40 MYT
AGC menyeru semua pihak supaya membenarkan Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu-isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan Peguam Negara sebelum ini Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh telah menjalankan tugas beliau selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan berkenaan.


Ringkasan AI
  • AGC pertahan tindakan bekas Peguam Negara AGC menyatakan Tan Sri Ahmad Terrirudin menjalankan tugas mengikut perlembagaan dan dakwaan beliau mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas.
  • Permohonan komital dianggap tidak wajar AGC menyifatkan tindakan memulakan prosiding penghinaan mahkamah semasa rayuan masih berjalan sebagai pramatang dan melanggar perintah penangguhan.
  • AGC seru semua pihak hormati proses kehakiman AGC meminta agar Mahkamah Persekutuan diberi ruang membuat keputusan tanpa tekanan atau gangguan luaran.


Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan dakwaan bahawa Ahmad Terrirudin telah mengelirukan Mahkamah Tinggi di sini adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut kenyataan itu, dakwaan bahawa bekas Peguam Negara itu yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara juga tidak berasas.

Kenyataan AGC berkenaan sebagai respons kepada laporan media terkini serta kenyataan yang dikeluarkan oleh Tetuan Shafee Co hari ini, yang mengesahkan bahawa satu permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin yang difailkan pada 21 Mei lepas.

"Untuk penjelasan, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai 2025.

"Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan tersebut," menurut AGC.

AGC memaklumkan tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis.

Ia merujuk kepada permohonan kebenaran menghina mahkamah dikemukakan Najib yang mendakwa Ahmad Terrirudin, ketika menjawat jawatan itu dengan sedar dan sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujahan yang tidak benar dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman berhubung Adendum.

AGC menjelaskan bahawa sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.

AGC menegaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan itu diketepikan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru semua pihak supaya membenarkan Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu-isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.

"Keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan," menurut AGC.

Pada 28 April lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.

Menurut AGC, pada 22 Mei lepas Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan itu meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.

-- BERNAMA






#Najib Razak #Jabatan Peguam Negara #Ahmad Terrirudin Mohd Salleh #Titah Adendum #Mahkamah Persekutuan