KUALA LUMPUR : Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa kepada individu awam di bawah perniagaan Milikan Tunggal atau Perkongsian bermula 18 April hingga 30 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, permohonan boleh dilakukan di semua Pejabat Wilayah APAD dan kaunter APAD di cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.

"Sebagai permulaan, kuota kelulusan Lesen Teksi dan Kereta Sewa ditetapkan sebanyak 1,000 lesen bagi tahun 2022. Pihak APAD akan menganalisis semua permohonan yang diterima selepas tarikh tutup permohonan.

"Sekiranya jumlah permohonan yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan melebihi kuota, maka pihak APAD akan mempertimbangkan kuota tambahan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Jelas Ka Siong, sebelum ini terdapat permintaan daripada orang awam yang berhasrat untuk memiliki Lesen Teksi sendiri namun, sukar untuk memenuhi syarat sedia.

Selain itu, pemandu teksi sedia ada turut menyuarakan hasrat sama, namun syarat pengalaman memandu teksi sehingga tiga tahun menyebabkan permohonan mereka tertangguh. 

"Ketetapan syarat tersebut adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diperkenalkan sejak tahun 2016.

"Dalam usaha merancakkan lagi industri teksi, maka Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui  APAD telah bersetuju supaya permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa dibuka permohonan kepada individu awam di bawah perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, syarat permohonan kali ini juga berbeza iaitu APAD telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah  TITP sebelum ini.

"Namun yang demikian, syarat-syarat lain masih dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang," ujarnya.

Permohonan Lesen Teksi dan Kereta Sewa yang dibuka secara umum katanya dijangka membantu pemandu teksi sedia ada memiliki lesen sendiri dan mengatasi isu sewa pajak lesen yang dianggap tidak adil serta membebankan pemandu sebelum ini.

"Dalam masa yang sama, pengumuman ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain-pemain baharu terutamanya generasi muda untuk menceburi sektor pengangkutan awam sekali gus merancakkan lagi ekonomi negara," tambahnya.