KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan permohonan untuk Pegawai Kadet (Pengajian Asasi) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi tahun 2023/2024 kini dibuka.

Mindef dalam satu kenyataan memaklumkan pemilihan dan temu duga pengambilan bakal pegawai kadet itu akan dilaksanakan Mei ini.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berkelayakan bagi menyertai ATM seterusnya menyumbang bakti demi kedaulatan negara.

"Belia warganegara berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa untuk mengikuti pengajian asasi di UPNM bagi tahun 2023," menurut kenyataan itu.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.upu.moe.gov.my dengan memilih UPNM sebagai pilihan pertama atau menghubungi talian 03-40131425.

-- BERNAMA