KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Nasional 2026–2035 yang baharu bagi mereformasi ekosistem pengajian tinggi negara agar lebih anjal mendepani perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan masa hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mendedahkan, paradigma konvensional yang meletakkan universiti sebagai satu-satunya penentu masa depan perlu dikikis, mengambil kira unjuran kira-kira 60 peratus peluang pekerjaan masa hadapan yang masih belum wujud pada hari ini.
Jelas beliau, transformasi menerusi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuktikan anjakan positif apabila institusi seperti politeknik mencatatkan permohonan luar biasa mencecah 132 peratus daripada kapasiti sedia ada.
"Selama ini politeknik sering dianggap sebagai pilihan kedua, dengan kadar kemasukan hanya sekitar 60 hingga 70 peratus. Namun buat kali pertamanya, kita menerima permohonan sehingga 132 peratus sehingga timbul rungutan mengenai kekangan ruang dan fasiliti yang perlu diperbaiki.
"Ini petanda baik bahawa persepsi anak muda sudah berubah bahawa universiti bukan satu-satunya laluan menyambung pelajaran. Kita tidak boleh menganggap mereka yang tidak ke universiti itu tidak cerdik, sebaliknya kemahiran teknikal mereka sangat luar biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Menteri sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, di sini, pada Isnin.
Sesi dialog itu turut menampilkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, dengan dikemudi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail sebagai moderator.
Bagi menampung keperluan industri elektrik dan elektronik (E&E) yang memerlukan sehingga 60,000 jurutera dan tenaga kerja teknikal, KPT turut melaksanakan anjakan menerusi pengambilan kohort khas pelajar aliran sastera ke peringkat diploma kejuruteraan.
Menurut Zambry, langkah eksperimen itu menyaksikan seramai 447 daripada 400 pelajar perintis lepasan SPM aliran kemanusiaan dan sains sosial berjaya melepasi program intervensi diploma kejuruteraan berasaskan minat mendalam dan asas matematik mereka.
"Sistem pendidikan tinggi kini perlu bergerak pantas melalui konsep 'unbundling' di mana pembelajaran tidak lagi terhad di dalam kampus fizikal semata-mata, sebaliknya diintegrasikan terus dengan industri seperti model pembelajaran berasaskan kerja (2u2i) dan program pengumpulan kredit (stackable).
"Dalam masa kita berkejar melahirkan pakar teknologi dan AI, subjek sains sosial, sejarah dan psikologi kekal penting bagi membentuk pemikiran kritis manusia yang tidak boleh digantikan oleh teknologi," tegasnya.