Ketiadaan naskah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor menyebabkan rakyat memberi interpretasi sendiri mengenai peraturan negeri itu tanpa merujuk kepada sebarang fakta.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, ia juga berpunca kerana naskah berkenaan tidak boleh didapati dengan mudah atau dijual di kedai-kedai buku.

“Hanya pegawai-pegawai Kerajaan dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja di antara mereka yang diberi senaskah seorang.

“Jika mereka tidak ada naskah Undang-Undang Tubuh Negeri ini, bagaimanakah Bangsa Johor hendak berdiskusi dengan bijak tentang isu yang berbangkit?

“Tahukah mereka mengenai hak-hak masing-masing? Adakah ianya disengajakan supaya Bangsa Johor hanya mendengar interpretasi pihak-pihak tertentu dan menganggapnya sahih tanpa usul periksa?

“Mengikut kepada Ketua Pembangkang, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang akhbarnya sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya dibuat program-program untuk Bangsa Johor mengenali Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.


Tengku Putra mencadangkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan untuk mencetak sebanyak mungkin Naskah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor kepada Bangsa Johor. - Foto fail


Dalam pada itu, Tengku Putra berkata, semenjak tiga tahun lepas, terdapat banyak isu-isu hangat yang membabitkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan Perlembagaan Persekutuan timbul di negeri itu sendiri.

Tambahnya, satu forum ’Negara dan Kenegaraan, Kenali Perlembagaan Anda’ juga pernah diadakan di Kempas dua tahun lalu bersama panel, Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai isu berkenaan.

“Di situ, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menghadiah-wajibkan setiap penerima Rumah Mampu Milik Negeri Johor (RMMJ) dengan senaskah Undang-Undang Tubuh Negeri bersama dengan penyerahan kunci rumah masing-masing untuk menggalakkan mereka mengetahui undang-undang ini.

“Saya juga mencadangkan ianya menjadi mata pelajaran wajib seperti mana di sekolah-sekolah menengah di Amerika Syarikat (AS).

“Setelah mencari dan gagal untuk memperolehi Undang-Undang Tubuh Negeri Johor di kedai-kedai buku tersohor mahu pun yang kecil di merata Bandaraya Johor Bahru, kami yang menganjurkan forum tersebut terpaksa menyediakan sendiri Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan juga Perlembagaan Persekutuan untuk diberi sebagai cenderahati kepada ketua-ketua masyarakat Johor yang dijemput hadir dalam seminar tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kini diminta mempertimbangkan cadangan untuk mencetak sebanyak mungkin buku itu.

“Ia boleh dijual di kedai-kedai buku atau lebih baik diberi percuma kepada seberapa ramai Bangsa Johor dan di sekolah-sekolah.

“Ia menjadikan mereka lebih celik tentang Undang-Undang Tubuh Negeri berbanding dengan ‘menelan’ sahaja apa yang diterjemahkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan sendiri.

“Setiap orang Islam berbangsa Johor wajib ada senaskah al Quran dan Hadis untuk persiapan mereka di akhirat dan senaskah Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan sebagai lunas perundangan hidup di dunia ini khususnya di negeri Johor dalam negara Malaysia,” jelasnya.

Tegas Tengku Putra, ia langkah menjadi peka dengan hak sebagai rakyat agar tiada pihak boleh mengambil kesempatan di atas kejahilan semata-mata di atas ketaatsetiaan sahaja.