SHAH ALAM: Proses perobohan Stadium Shah Alam akan dimulakan dengan pemasangan dinding adang, diikuti proses merungkai struktur sedia ada yang dijangka mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan memaklumkan, beliau telah menekankan kepada pihak terlibat bahawa pembangunan Stadium Shah Alam harus menepati segala piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"(Pembangunan projek itu) turut menjadi model yang menggunapakai kaedah terbaik dalam pembangunan infrastruktur, terutamanya dalam skala sebegini.

"Segala langkah mitigasi untuk menangani impak pembangunan akan dimaklumkan oleh pihak pemaju kepda komuniti tempatan, agar proses ini berjalan sebaiknya," katanya.

Amirudin berkata satu langkah kritikal telah diambil dalam pembangunan stadium itu, apabila beliau turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara Menteri Besar Selangor Incorporated atau MBI Selangor bersama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) petang tadi, sekali gus menandakan permulaan kerja-kerja fizikal setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi.

-- BERNAMA