GEORGE TOWN: Seorang suri rumah cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga bulan hilang selepas disorokkan dua perompak di dalam kotak polisterin di rumahnya di sebuah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, Pulau Pinang.

Suspek yang turut menyumbat mulut bayi itu menggunakan tuala kecil sebelum ditampal pita pelekat dipercayai bertindak sedemikian kerana berang apabila gagal memaksa wanita itu menyerahkan wang tunai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam kejadian jam 10.30 pagi Isnin itu, dua lelaki menyamar wakil syarikat kurier datang ke rumah itu.

"Mereka kononnya mahu menghantar barang, namun sebaik membuka pintu dia terkejut apabila salah seorang suspek mengeluarkan pisau dan mengarahkannya supaya tidak menjerit jika mahu selamat.

"Suspek kemudian mengambil rantai emas mangsa bernilai RM1,200 sebelum mereka meminta wang tunai sebanyak RM50,000, namun mangsa tidak mempunyai wang tunai sebanyak itu.

"Seorang daripada mereka kemudian mencapai bayi lelakinya berumur tiga bulan dan menyembunyikannya sebelum melarikan diri," katanya di sini.

Beliau berkata, wanita itu yang ketakutan segera mencari bayinya sebelum menemui anaknya di dalam kotak itu yang diletakkan di dalam sebuah bilik rumah itu tidak lama kemudian.

Soffian berkata, anak perempuan mangsa berumur tiga tahun bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek. Suaminya berada di tempat kerja di Batu Kawan ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, Soffian meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.