Perpaduan bukan tentang setuju semua perkara, tetapi kewarasan sebelum emosi - Penganalisis

Dr Sivamurugan berkata dalam situasi pembinaan negara bangsa, perpaduan perlu dipusatkan kepada tiga nilai teras iaitu faham, hormat dan terima. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Perpaduan di negara ini tidak menuntut semua pihak bersetuju setiap perkara, namun masing-masing perlu meletakkan nilai kewarasan sebelum emosi, khususnya ketika mengurus perbezaan pandangan dalam konteks masyarakat majmuk.
Ringkasan AI
- Perbezaan pendapat realiti yang tidak dapat dielakkan dalam masyarakat majmuk, nilai kewarasan penting untuk keharmonian nasional.
- Cabaran perpaduan kompleks dengan pengaruh media sosial yang mampu mencetus polarisasi, tetapi hubungan masyarakat di peringkat akar umbi menunjukkan toleransi yang baik.
- Perpaduan perlu berpaksikan faham, hormat, dan terima, memanfaatkan kepelbagaian sebagai kekuatan dalam situasi negara bangsa.
"Kita hidup berdampingan tetapi berasingan, kita bergaul tetapi tidak bergabung, diakui masih wujud perselisihan serta keresahan ini. Namun dalam konteks Malaysia sekarang, perkara penting adalah kebolehan kita untuk bertolak ansur.
“Kita tidak perlu setuju dalam semua perkara, tetapi kita harus memahami sebelum menilai. Aspek kewarasan serta rasional penting mendahului emosi,” ujarnya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin.
Jelasnya lagi, cabaran perpaduan masa kini semakin kompleks dengan pengaruh media sosial yang sering memaparkan naratif polarisasi, sedangkan realiti hubungan masyarakat di peringkat akar umbi masih menunjukkan toleransi dan keharmonian yang baik.
"Polarisasi yang dipacu oleh algoritma media sosial berpotensi mewujudkan defisit kepercayaan, sangat berbahaya sekiranya tidak ditangani secara berhemah dan berlandaskan rasional," katanya.
Tegas beliau, dalam situasi pembinaan negara bangsa, perpaduan perlu dipusatkan kepada tiga nilai teras iaitu faham, hormat dan terima.
“Perpaduan tidak berlaku apabila kita semua sama (bangsa atau agama), tetapi apabila kita selesa hidup dengan perbezaan dan menjadikan kepelbagaian itu sebagai kekuatan, bukan ancaman,” ujarnya.
Dalam masa sama katanya, kepimpinan negara serta institusi awam perlu menunjukkan teladan dan konsistensi dalam mengangkat nilai keharmonian, agar perpaduan tidak bersifat sementara atau bermusim, sebaliknya menjadi amalan berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


