MALAYSIA
Perpustakaan terapung Doulos Hope disambut secara rasmi di Labuan

Ketibaan kapal itu yang berlabuh hingga 28 Julai ini menandakan detik bersejarah bagi Labuan. - Bernama
LABUAN: Perpustakaan terapung terkenal di dunia, Doulos Hope, yang sedang berlabuh di Labuan Liberty Wharf dari 2 Julai lepas, disambut secara rasmi di sini hari ini dalam majlis yang menampilkan persembahan kebudayaan tempatan.
Ketibaan kapal itu yang berlabuh hingga 28 Julai ini menandakan detik bersejarah bagi Labuan, melambangkan pengayaan kebudayaan dan semangat muhibah antarabangsa.
Majlis sambutan rasmi itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Megah Port Management Sdn Bhd Datuk Seri Patrick Tiong dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
Ketika berucap, Tiong berkata lawatan Doulos Hope bukan sahaja menyerlahkan keupayaan pulau bebas cukai ini untuk menerima kapal terkenal di dunia, tetapi juga membuktikan kesiapsiagaan logistik dan layanan hospitaliti pelabuhan itu."Perpustakaan terapung dengan legasi minda yang memberikan inspirasi, ketibaan kapal ini meletakkan Labuan sekali lagi dalam peta maritim antarabangsa. Pasukan kami bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan untuk memastikan persinggahan kapal ini sentiasa selamat dan dialu-alukan.
"Ia bukan sekadar lawatan simbolik, tetapi membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat ... lawatan ini merangsang ekonomi penduduk tempatan dengan menyediakan peluang perniagaan makanan dan minuman, pengangkutan dan perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata perpustakaan terbuka itu menyediakan platform untuk pertukaran budaya, perkongsian ilmu dan persahabatan global serta berharap lebih banyak kerjasama sebegini dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Doulos Hope Khemraj Lakhan berkata lawatan itu sejajar dengan usaha Labuan terhadap pembangunan dan penglibatan antarabangsa, selain bertepatan dengan Festival Flora Borneo yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Julai ini, disifatkan beliau sebagai perayaan meriah yang penuh kreativiti, keindahan semula jadi dan kebanggaan budaya Labuan.
"Kapal ini berfungsi sebagai platform untuk pertukaran silang budaya, khidmat sukarelawan dan akses pendidikan ... ia selari dengan nilai kebangsaan Malaysia yang menekankan pendidikan, keterangkuman dan kepimpinan serantau," katanya.
Dalam pada itu, Lakhan turut memuji layanan mesra dan profesionalisme Labuan serta mengiktiraf usaha agensi tempatan dalam memastikan prosedur imigresen, kastam dan kesihatan yang lancar bagi 100 anak kapal dan penumpang melibatkan 35 kewarganegaraan.
"Maklum balas daripada penduduk Labuan amat memberangsangkan, kami melihat keluarga, murid sekolah dan komuniti daripada pelbagai latar belakang berinteraksi penuh semangat dengan kru kami," katanya.
Perpustakaan terapung itu dibuka dari 1 tengah hari hingga 9 malam setiap hari kecuali Isnin. Orang ramai boleh meneroka lebih 120,000 koleksi buku dalam pelbagai genre dan bahasa, sambil terlibat dalam dialog merentas budaya dan aktiviti pendidikan di atas kapal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami