Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak malam tadi menghadiri majlis makan malam Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah (TKC), di sini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga bekas pelajar TKC Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis itu, antara lain, bertujuan mengumpul dana bagi membantu pelajar TKC mempertingkat dan memperbaiki kemudahan di kampus baharu kolej di bandar Enstek serta membolehkan penganjuran program kebajikan untuk golongan tua dan anak yatim.

Pada majlis itu, Rosmah turut melancarkan buku mewah bertajuk 'Legacy' memuatkan pelbagai aktiviti dan pengalaman bekas pelajar TKC yang berjaya melakar pelbagai kejayaan membanggakan.

Dalam ucapan ringkas selepas melancarkan buku itu, Rosmah berkata beliau bangga menjadi seorang daripada 'produk' TKC, yang merupakan institusi istimewa khusus buat pelajar wanita.

"Ke mana sahaja saya pergi, termasuk luar negara, saya sentiasa beritahu bahawa saya bekas pelajar TKC," katanya.