Pemilik premis perniagaan, baik milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, didakwa masih mengenakan sewa kepada pemilik perniagaan walaupun kerajaan sudah mengumumkan insentif kepada mereka bagi membantu golongan usahawan menangani impak COVID-19.

Perkara itu didedahkan Presiden Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil sambil menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk membantu golongan usahawan.

"Tidak ada mekanisme yang memantau perkara ini, saya tak mau komen pemilik swasta pada tahap ini kerana saya rasakan banggunan milik kerajaan dan GLC mematuhi arahan (yang diumumkan dalam) Pakej PRIHATIN.

"Daripada maklum balas yang kami terima, ada satu daripada ahli kami yang berurusan dengan sebuah perbadanan milik kerajaan, mereka tidak mendapat sebarang penangguhan terhadap premis yang mereka sewa dengan perbadanan ini atas alasan mereka menyewa tapak, bukan banggunan komersil milik kerajaan," katanya kepada Astro AWANI.

Perdana Menteri semasa mengumumkan Pakej PRIHATIN Tambahan memaklumkan, kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa, atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS, bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama, dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan tiga bulan selepas tempoh itu berakhir.

Justeru, Agil berpendapat, jika pemilik bangunan kerajaan sendiri tidak dapat mematuhi arahan Perdana Menteri maka lebih sukar untuk meminta pihak swasta menyokong usaha ini.

Oleh itu GMB menggesa pemilik bangunan baik kerajaan dan GLC untuk mematuhi arahan penangguhan sewa yang sudah pun diumumkan kerajaan.

Beliau mengulangi bahawa pemilik perniagaan amat memerlukan bantuan ini kerana mereka kini berhadapan dengan masalah aliran tunai yang sangat kritikal.