'Persembahan malam ini, must go on' ... - Anuar Zain

Asyraf Roslan
Oktober 29, 2023 12:30 MYT
Anuar menyampaikan lebih kurang 20 buah lagu antaranya Sedetik Lebih, Ketulusan Cinta, Ajari Aku, Bila Resah, Perpisahan dan Mungkin. - Astro AWANI/Asyraf Roslan
UNGGUL!
Penyanyi Anuar Zain membuktikan komitmennya untuk menghiburkan 8,000 penonton yang hadir konsert Anuar Zain 40th Anniversary pada Sabtu meskipun mengakui kesihatannya tidak mengizinkan.
Walaupun hilang suara dan harus menggunakan mesin 'nebulizer' (untuk membantu pernafasan) ketika selingan persembahan, Anuar tetap memberikan persembahan luar biasa buat peminat yang hadir untuk konsert yang berlangsung selama tiga jam di Stadium Malawati, Shah Alam.
Membuka tirai dengan lagu Sesucinya Cintamu, pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini tidak mengecewakan peminat-peminatnya yang datang dari segenap pelusuk negara.
Perjalanan selama empat dekad merentas industri muzik tempatan, Anuar mempamerkan profesionalisme menerusi 20 buah lagu tanpa henti.
Anuar seolah-olah 'lepas geram' di atas pentas, menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat-peminat sebagai tanda apresiasi kepada mereka.
Segmen tribut turut diselitkan dalam persembahan malam tadi. Datuk Sheila Majid 'turun padang' dan memberi 'standing ovation' selepas Anuar menyanyikan 'Di Dalam Emosi Ini' dengan penuh penghayatan.
Tampil membuat persembahan sambil diiringi petikan piano dan pengarah muzik Sze Wan dan orkestra, Anuar mempamerkan nyanyian penuh penghayatan dengan gaya signaturnya. Mengasyikkan!
Malah, setiap kali vokalnya berjaya mencapai nada tinggi, tepukan dan sorakan gemuruh penonton bergema memenuhi ruang stadium itu.
Perasaan kagum turut terpancar pada wajah Anuar apabila peminatnya menyuntik semangat dengan menyanyi bersama-samanya sepanjang konsert itu.
Menurut Anuar, apa yang berlaku tidak diminta dan dirancang, namun demi peminat-peminat setianya yang datang ke konsertnya, dia harus lakukan yang terbaik
“Kamu tahu sakit ini bukan saya cari, saya tak cari pun hilang suara, saya tak cari pun batuk, saya tak cari pun demam,kalau dia nak jadi ia jadi.
“Saya bersyukur sebab ia jadi seminggu sebelum, saya hilang suara saya terus jadi saya tak buat rehearsal hanya mendengar sahaja dari apa yang dah saya latih sebelum ini, walaupun suara saya tiada namun semangat saya sangat kuat, apa pun yang terjadi the show must go on.
“Jadi saya kata pada diri saya, its okay dan saya beritahu kepada semua penonton keadaan sebenarnya agar mereka tahu apa yang terjadi, jadi saya cuba buat yang terbaik untuk semua dan harap semua terhibur dengan persembahan malam ini,” katanya kepada media semasa sidang media selepas berlangsungnya konsert Anuar Zain 40th Anniversary.
Bercakap mengenai adakah ini konsert terakhir beliau, jawapan yang diberikan sangat mudah jika ada rezeki sudah semestinya dia akan mengadakannya lagi konsert buat peminat-peminatnya.
“Selagi diizinkan, saya dan team saya tidak akan berhenti untuk mengadakan series of concert yang akan datang kerana ini adalah salah satu punca rezeki dan satu cara yang saya boleh berjumpa dengan peminat saya.
“Saya harap dengan kehadiran saya dalam industri ini dapat mewarnai industri muzik dan membahagiakan peminat,” ujarnya.
Anuar menyampaikan lebih kurang 20 buah lagu antaranya Sedetik Lebih, Ketulusan Cinta, Ajari Aku, Bila Resah, Perpisahan dan Mungkin.
Konsert Anuar Zain 40th Anniversary yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam turut dihadiri Ziana Zain, Dina Nadzir, Syamel, Ernie Zakri, Misha Omar, Datuk Acis, Datuk Syafinaz Selamat dan Elvira.
#Anuar Zain #konsert #Anuar Zain 40th Anniversary #sakit
;