SHAH ALAM: Persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan pada 2025, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata penetapan persempadanan tersebut penting kerana ia akan membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyelenggaran utiliti antara kedua-dua negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan penetapan persempadanan kawasan yang jelas adalah rumit kerana melibatkan premis dan kawasan yang telah tepu bina berbanding kawasan hutan serta pertanian seperti yang pernah ditandatangani kerajaan Selangor bersama Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Sekarang ini (ada kawasan) yang telah bercantum di antara kedua-duanya (Selangor dan Kuala Lumpur). Kalau kita lihat Cheras, ada yang menanyakan Cheras mana sama ada Kuala Lumpur atau Kajang (Selangor) dan orang keliru. Jadi lebih baik persempadanan dibuat bagi menyelesaikan kepentingan antara kedua-dua negeri.

"Setakat ini, sebanyak 19 lokaliti telah dibincangkan dalam persempadanan berkenaan termasuk Gombak, Ampang dan Hulu Langat. Namun, mungkin ada dua atau tiga lagi lokaliti," katanya dalam sidang media di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan turut dihadiri wakil agensi negeri masing-masing yang membincangkan mengenai persempadanan kedua-dua negeri itu.

Amirudin berkata persempadanan kedua-dua negeri itu akan menjadikan perjanjian lama seperti Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan Persekutuan dan beberapa perjanjian lain sebagai panduan.

"Dulu tiada ukur tentu halus tetapi sekarang ini perlu ditetapkan sebetulnya supaya sah dan tepat. Insya-Allah, kedaulatan setiap tapak dan inci bagi tanah di kedua tempat ini akan dipelihara.

"Sebelum ini, kita telah tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berhubung persempadanan ini. Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri," katanya yang menambah persempadanan itu tidak mempunyai kaitan dengan kawasan pilihan raya.   

-- BERNAMA