Dalam pasca pilihan raya tahun 1969, seramai 196 orang terkorban sementara ratusan yang lain cedera selepas satu rusuhan kaum terjadi di Kuala Lumpur.

Kejadian itu meletus pada tarikh 13 Mei akibat sentimen perkauman dan isu-isu sensitif yang dimainkan oleh calon-calon pilihan raya ketika proses berkempen berlangsung.

Semenjak itu, tarikh 13 Mei sering dilihat sebagai badi kepada usaha keharmonian kaum di negara ini.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain tarikh 13 Mei ini seharusnya menjadi satu peringatan kepada semua rakyat Malaysia supaya ianya tidak berulang kembali.

“Peristiwa yang terjadi itu tidak harus dilupakan kerana ditakuti generasi baru pada masa kini akan lupa dan mengambil sambil lewa soal keharmonian kaum maka tidak mustahil ianya akan berulang kembali,” kata Ahmad Atory ketika dihubungi oleh Astro Awani.

Beliau menambah, bibit-bibit perkauman itu turut sedikit sebanyak menular pasca pilihan raya yang lalu.

Kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat harus mengambil langkah-langkah efektif dalam menyemai semangat keharmonian kaum selaras dengan rancangan penyatuan nasional yang telah dicanangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Berita selanjutnya dapat diikuti melalui visual yang telah disediakan.