Kerajaan Johor sentiasa mencari jalan untuk mempromosikan keunikan negeri ini dengan terbaharu menganjurkan Karnival Budaya dan Warisan serta melancarkan Persiaran Muafakat Bangsa Johor, di pusat bandar, di sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata Karnival Budaya dan Warisan serta Persiaran Muafakat Bangsa Johor merupakan identiti khazanah warisan budaya dan bangsa Johor yang pelbagai.

"Johor adalah negeri yang masyarakatnya bukan sahaja sangat pelbagai tetapi mempunyai budaya dan nilai tradisi yang sangat berbeza.

"Contoh yang paling nyata ialah kewujudan pelbagai rumah ibadat dalam satu kawasan yang terdapat di Persiaran Muafakat Bangsa Johor," katanya ketika merasmikan Karnival Budaya dan Warisan serta pelancaran Persiaran Muafakat Bangsa Johor, di sini malam tadi.

Tee berkata Persiaran Muafakat Bangsa Johor merupakan penjenamaan semula Jalan Trus, di pusat bandar raya ini, yang mengandungi lima pusat ibadat di sepanjang jalan berkenaan.

Pusat ibadat itu adalah Masjid India Dato' Ahmad Awang yang telah wujud seawal tahun 50-an, Kuil Sri Raja Mariamman yang berusia hampir 105 tahun, Sikh Gudwara Sahib yang berusia 100 tahun, tokong lama kaum Cina berusia hampir 146 tahun serta Gereja The Vicar Of Immaculate Conception.

Beliau berkata Persiaran Muafakat Bangsa Johor bukan sahaja boleh menjadi identiti Johor malah teladan kepada pelbagai pihak terutamanya dalam aspek permuafakatan pelbagai kaum.

"Kewujudan lima rumah ibadat yang pelbagai dalam satu kawasan yang sama ini membuktikan beberapa perkara penting dalam nilai kehidupan seperti kekuatan toleransi agama dan budaya, kecintaan terhadap warisan dalam mengejar arus pemodenan dan semangat nasionalisme yang sama," katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A. Rahim Nin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

-- BERNAMA