Persidangan Dong Zong sepatutnya dibenarkan - Suhakam

Astro Awani
Disember 29, 2019 22:50 MYT
Suhakam percaya persidangan Dong Zong termasuk tunjuk perasaan oleh penentang-penentang Dong Zong seharusnya dibenarkan untuk diteruskan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius tindakan kerajaan menafikan hak Dong Jiao Zong (Dong Zong) untuk berhimpun dan bersuara selepas persidangan mereka dibatalkan melalui injunksi mahkamah.
Ia melahirkan kebimbangan susulan ancaman keganasan yang didakwa diterima Dong Zong, sambil menegaskan, hak kebebasan berhimpun dan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Suhakam percaya bahawa persidangan Dong Zong, termasuk tunjuk perasaan oleh penentang-penentang Dong Zong, seharusnya dibenarkan untuk diteruskan.
“Pihak berkuasa perlu memastikan kedua-dua kumpulan dapat menjalankan sepenuhnya aktiviti mereka dengan selamat, bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang amat penting bagi merealisasikan sebuah demokrasi yang bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Jelas kenyataan itu lagi, tindakan pihak berkuasa yang tunduk kepada mereka yang mencetuskan keganasan dikhuatiri boleh menyebabkan pencabulan hak asasi rakyat Malaysia.
Justeru, pertubuhan itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap sebarang ancaman keganasan yang boleh mencetuskan kebencian, rusuhan dan mengancam kedaulatan undang-undang di negara ini.
BACA: Mahkamah arah Dong Zong batal persidangan bantah tulisan jawi - PDRM
BACA: Tulisan jawi: Dong Zong akur perintah mahkamah, batal persidangan
BACA: 17 persatuan Cina tidak puas hati tindakan polis
BACA: Anwar gesa semua pihak tidak teruskan sidang anti, pro-Jawi
Terdahulu, persidangan membantah tulisan jawi yang sepatutnya diadakan oleh Dong Zong pada 28 Disember terpaksa dibatalkan selepas polis menerima injuksi dari mahkamah.
Arahan pembatalan itu berikutan kebimbangan pihak polis sekiranya berlaku keadaan yang mengganggu ketenteraman awam.
#ancaman keganasan #batal persidangan #demokrasi #Dong Zong #JAWI #kebebasan #kebebasan berhimpun #kebebasan bersuara #mahkamah #pencabulan hak asasi #Perlembagaan Persekutuan #polis #rakyat Malaysia #siasatan #Suhakam #tulisan jawi #tunjuk perasaan #undang-undang