KUALA LUMPUR: Parlimen perlu bersidang kembali bagi memastikan wujudnya proses semak dan imbang ke atas segala keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif.

Pengasas Bersama dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai berkata, pembukaan persidangan Parlimen amat penting supaya wakil rakyat boleh membahaskan permasalahan rakyat serta menyuarakan pendapat dan aspirasi mereka.

“Kami tidak boleh mengharapkan bahawa kerajaan tahu semuanya, dan kerajaan memerlukan satu sistem maklum balas bagi mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak supaya mereka dapat membuat keputusan perundangan yang lebih baik.

“Antaranya, pelaksanaan pengedaran vaksin, pemberian laptop (komputer riba) dengan lebih laju.

“Ia bukan sahaja untuk proses semak dan imbang tetapi juga bagi memastikan tindakan yang dilakukan kerajaan boleh dilakukan dengan cara yang lebih efektif,” kata Tharma kepada Astro AWANI pada Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata pandemik COVID-19 didepani seluruh dunia, namun negara-negara lain tidak menggantung sidang Parlimen.


Politik | Menjelang persidangan Parlimen semasa darurat


Parlimen boleh diteruskan tanpa nasihat PM - Ku Li

“Negara lain mengadakan sidang Parlimen hibrid di mana sebahagian wakil rakyat bersidang secara fizikal dan sebahagiannya melakukan persidangan secara maya.

“Ada juga yang mengadakan keseluruhan sidang Parlimen secara maya dan ia hanya memerlukan pindaan peraturan mesyuarat yang boleh dilakukan dengan senang oleh Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

“Maka, saya tidak rasa isu wabak COVID-19 ini adalah satu kebimbangan yang besar sehingga perlu menggantung sistem demokrasi dan sistem semak dan imbang. Kita perlu menyesuaikan diri,” katanya.

Untuk rekod, United Kingdom dan Jepun yang melaksanakan proklamasi darurat masih mengadakan persidangan Parlimen sama ada secara bersemuka atau maya.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.