MALAYSIA
Persidangan Rabies di Borneo diadakan 30 September hingga 1 Oktober

RIB 2025 yang bakal dilangsungkan diadakan di BCCK disifatkan tepat pada waktunya susulan Sarawak masih bergelut dengan wabak rabies. - Facebook Borneo Convention Centre Kuching (BCCK)
KUCHING: Persidangan Rabies di Borneo 2025 (RIB) yang memasuki edisi keempat tahun ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 30 September hingga 1 Oktober ini.
Persidangan berkenaan adalah anjuran Place Borneo Sdn Bhd dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dengan sokongan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Business Events Sarawak.
Place Borneo dalam kenyataan memaklumkan, RIB 2025 diadakan tepat pada waktunya susulan Sarawak masih bergelut dengan wabak rabies, dengan tiga kes baharu direkodkan di Kuching, Samarahan dan Bintulu pada 1 hingga 9 Mei lepas.
"Berdasarkan Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak, sejak wabak itu bermula pada 2017, pihak berkuasa telah memvaksin 267,883 haiwan dan menjalankan 4,858 ujian dengan 23 peratus daripadanya disahkan positif, sekali gus menjadi peringatan tentang kewujudan virus berkenaan," menurut kenyataan itu.Walapun pelbagai usaha telah dijalankan, wabak rabies masih memberikan kesan kepada haiwan dan manusia.
Tema RIB2025, Rabies-Free Borneo: Uniting People, Animals, and Communities mencerminkan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif, menurut kenyataan itu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, rabies bukan sekadar isu veterinar tetapi juga menjadi isu kesihatan awam dan masyarakat, justeru kerajaan negeri komited untuk menghapuskannya secara menyeluruh.
"Persidangan ini merupakan langkah penting dalam mengukuhkan semula visi bersama kita iaitu Borneo Bebas Rabies. Bersama-sama kita boleh dan perlu menamatkan wabak ini," katanya.
Maklumat lanjut berkaitan persidangan berkenaan boleh diperoleh menerusi www.rabiesinborneo.com.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami