Persidangan satelit pada The International Infrastructure Conference 2014 (IICON 2014) menjadi medan penuntut universiti negara ini menghurai cabaran infrastruktur dalam pembangunan negara dalam abad ke-21.

Pengerusi Persidangan yang juga Naib Presiden atau Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Prof Madya Dr Christiantine Della berkata, empat persidangan satelit yang diadakan serentak menjadi pemangkin yang menjawab sebarang permasalahan peserta dalam bidang berkaitan.

"Selama dua hari, sebanyak empat persidangan satelit berlangsung serentak di bawah IICON 2014 yang berteraskan kepelbagaian infrastruktur yang berfokus kepada infrastruktur ‘keras’ (hard infrastructure) dan ‘lembut' (soft infrastructure) iaitu: The International Conference on Built Environment (ICBE), The International Conference on Business and Management (ICBM), The International Conference on Engineering, Information Technology and Science (ICEITS), dan The International Conference on Language, Communication and Education (LANCOMME).

"Keempat-empat persidangan satelit ini menyerlahkan keberkaitan antara kedua-dua bentuk infrastruktur. Kedua-dua bentuk infrastruktur ini bergantung antara satu sama lain untuk menghasilkan kestabilan dan keberkesanan transformasi dalam pelbagai bidang seperti senibina, bahasa, komunikasi, pendidikan, teknologi informasi, kejuruteraan, pentadbiran, sumber manusia, perniagaan dan seumpamanya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Persidangan antarabangsa yang diadakan di Petaling Jaya itu dirasmikan Canselor IUKL, Tan Sri Dr Wan Abdul Rahman Wan Yaacob.

Persidangan induk yang bertemakan ‘Infrastructure Innovation and Transformation for the 21st Century’ mengemukakan ucap utama Pro-Canselor (Akademik) IUKL, Datuk Dr Lee Yee Cheong yang menyentuh cabaran infrastruktur dan peluang untuk memperkukuhkan kemampanan dan kelestarian dalam pembangunan negara pada abad ke-21 dan seterusnya.

Jelas Dr Christiantine, infrastruktur dapat diertikan sebagai asas kukuh sesebuah organisasi atau sistem yang merangkumi kelengkapan dan perkhidmatan asas yang diperlukan untuk memastikan masyarakat atau komuniti berfungsi.

"Sistem ini juga merangkumi kepakaran bahasa dan komunikasi yang meningkatkan keberkesanan antara manusia dan organisasi.

"Suatu penyatuan infrastruktur keras dan lembut adalah perlu untuk kemampanan dan kelestarian masa depan," jelasnya.

IICON 2014 disertai pembentang dan peserta dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, ahli profesional serta pelajar sarjana dari dalam dan luar negara.

Ia disokong 11 institusi rakan kongsi yang masing-masing menghantar lebih dari tiga penyertaan.

Ini termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tishreen Universiti Lattakia, Syria, serta Universiti of Dammam, Sudan turut menghantar penyertaan mereka.

Selain Malaysia, para pembentang juga datang dari negara-negara luar seperti Nigeria, Singapura, Syria, Sudan, Poland, Mesir, China, Canada, Maldives, Libya, Tunisia, Vietnam, Indonesia, Iran, Iraq, Australia, Oman, United Kingdom, Germany dan Honduras.