KUALA LUMPUR: Negeri-negeri yang mencatatkan kadar kes jangkitan yang rendah boleh dipertimbangkan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dalam Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpandangan, perkara itu boleh dilaksanakan memandangkan trend kes jangkitan termasuk dari segi lokasi telah dikenal pasti.

Selain itu, beliau berkata liputan pemberian vaksinasi juga dilihat semakin rancak, dan membolehkan peralihan fasa Pela Pemulihan Negara (PPN) dilakukan dalam masa terdekat di negeri terbabit.

"Jadi, kita tak boleh tengok secara pukul rata angka seluruh negeri, dan sekarang sudah tahu ada negeri-negeri yang mempunyai kes yang rendah.

"Tetapi kita kena ingat bahawa kluster atau kes akan meningkat sekiranya berlaku rentas negeri dari negeri yang tinggi, dan jika ada ujian (saringan) yang besar-besaran.

"Untuk itu, saya rasa kita dah faham.. Kita boleh buka negeri-negeri yang mempunyai kes rendah seperti Perlis dan Terengganu tetapi kita mesti fokuskan kepada puncanya supaya kita dapat mengelakkan supaya ia (peningkatan kes) berlaku," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Tegas beliau, rentas negeri bagaimanapun masih tidak boleh dibenarkan setakat ini.

Namun, rentas daerah di negeri-negeri yang merekodkan kes rendah boleh diperhalusi, tambahnya.

"Tetapi kita kena berhati-hati kerana kita tahu akan menghadapi Aidiladha yang mana akan berlaku lagi pergerakan yang besar.

"Jadi, kita mesti fokus dan berhati-hati untuk membuka secara besar-besaran, tetapi boleh dilakukan dalam masa dua minggu ini selepas kita nampak daerah atau negeri itu (kes rendah), kita boleh longgarkan," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr Zainal menambah, peningkatan liputan pemberian vaksin boleh ditumpukan kepada dua pendekatan iaitu di negeri kes tinggi dan rendah.

Pendekatan tersebut memberi lebih keyakinan kepada kerajaan untuk membuka negeri terbabit secara lebih besar, sekali gus dapat menyelamatkan sektor ekonomi, katanya.