KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu mempertimbangkan semula tarikh pembukaan semula sesi persekolahan 2021 bermula 20 Januari ini, kata Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivaraajh.

Jelasnya, tanpa rancangan yang tepat, kerajaan tidak perlu mengambil risiko untuk meneruskan rancangan berkenaan.

"Semalam, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi pada 3,027 kes dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meramalkan statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

"Ini adalah perkembangan yang membimbangkan. Pelajar dan ibu bapa malah guru di sekolah sangat prihatin. Hanya satu kesalahan dalam prosesnya, kita mungkin mempunyai ratusan kluster di sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Melihat trend jangkitan semasa, walaupun sekolah dibuka semula seperti yang diumumkan, ibu bapa akan sangat ragu-ragu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekali gus mengakibatkan beberapa pelajar ketinggalan dengan kemajuan akademik dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: Sekolah, institusi pendidikan KPM buka 20 Januari, IPT 1 Mac - Muhyiddin

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menegaskan adalah penting RO diturunkan kepada nilai atau kurang daripada 0.5 untuk mengawal jangkitan sepenuhnya.

Dalam pada itu jelas Sivaraajh, selain murid, keluarga guru dan staf sokongan di sekolah juga akan terdedah dengan bahaya jika ada masalah timbul pada hari pembukaan sekolah nanti.

"Apakah rancangan mitigasi Kementerian Pelajaran sekiranya ada masalah? Saya percaya pihak berkepentingan, terutama pelajar dan ibu bapa dan guru mesti berunding serta diberi penjelasan yang cukup mengenai kelancaran pembukaan sekolah nanti jika ada masalah timbul kelak," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata pihak kementerian menetapkan pembukaan persekolahan lebih lewat berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.