Pertubuhan Bible Malaysia kecewa apabila mendapati 321 buah kitab Bible dan 30 salinan Gospel St. Luke yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Januari lalu dipulangkan kepada mereka dalam keadaan halamannya sudah dicop dengan amaran.

Dalam sebuah kenyataan media yang ditandatangani Presidennya, Bishop Datuk Ng Moon Hing, berkata bahawa tindakan itu seolah-olah membelakangkan titah Sultan Selangor agar isu rampasan Bible tersebut diselesaikan segera.

“Dalam insiden awal mengenai Bible yang dicop oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2011, Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa ia tidak akan berulang.

“Namun, insiden itu kini berlaku lagi. Dan kali ini dilakukan oleh pihak pegawai agama negeri Selangor,” ujar kenyataan itu.

Dalam Bible yang dipulangkan itu, cop amaran tersebut memaparkan mesej: "Hanya untuk kegunaan orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan mana-mana bahagian seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 (1), Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.”

Menurut pertubuhan tersebut, mereka tidak peduli di peringkat apapun dalam kerajaan yang membenarkan hal itu terjadi tetapi komuniti minoriti Kristian dikatakan amat terluka apabila teks Alkitab diperlakukan sebegitu.

“Kami mendesak permohonan maaf daripada pihak berkuasa agama Islam Selangor kerana telah merosakkan Alkitab, selain melakukan serbuan ke premis kami awal tahun ini,” tegas kenyataan tersebut.

Kenyataan media itu memberitahu, selagi ada pihak tertentu dalam kerajaan yang angkuh percaya pada hak dan tanggungjawab mereka sebagai ‘penguasa’ agama untuk melaksanakan tindakan itu, maka konsep kesederhanaan agama di negara ini tidak akan tercapai.

Moon Hing juga melalui kenyataan itu menegaskan bahawa kebebasan agama di negara ini tidak akan wujud selagi hak minoriti untuk ‘mengagungkan Tuhan dengan panggilan nama apa sekalipun’, serta peluang ‘berkongsi ajaran agama dengan pihak yang mahu mendengar’, dihalang oleh pihak berkuasa.