Pertubuhan Peladang Kelantan sedang mengumpul data dan maklumat kerugian ditanggung peladang dan petani akibat banjir yang melanda negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Derashid, berkata, tumpuan diberikan kepada kawasan paling teruk terjejas seperti Rantau Panjang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.

"Apa yang kita buat ialah kita akan kumpul data dan kita akan menghubungi Kementerian Pertanian dan mungkin selepas banjir reda, mungkin Pengerusi Kada dan saya sebagai Pengerusi Kesedar akan jumpa pihak Kementerian pertanian untuk mencari jalan membantu petani terlibat di waktu banjir," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, beliau telah mengarahkan 34 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk melakukan penilaian berkenaan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, tanaman padi paling teruk terjejas berbanding getah dan kelapa sawit.

"Paling terjejas biasanya tanaman padi, sebab kalau tanaman getah dan sawit biasanya ia ditanam di kawasan tanah tinggi," ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau melihat sekarang masa sesuai untuk kerajaan memperkenalkan skim insurans bencana alam untuk peladang dan petani pada kadar berpatutan.

"Mungkin masanya juga sudah sesuai kerajaan memperkenalkan skim insurans banjir atau bencana alam supaya petani tak alami kerugian besar setiap tahun. Skim insurans itu pula perlulah pada harga patut untuk peladang terlibat," tambahnya.

Bagaimanapun beliau mengakui ada sebahagian peladang yang mengambil inisiatif dengan membeli insurans individu atau berkumpulan terutama selepas kejadian banjir terburuk melanda kelantan pada 2014.

Semasa banjir dua tahun lalu, puluhan juta dibelanjakan untuk menampung kerugian ditanggung peladang.

ujarnya, bekalan padi di Kelantan buat masa ini masih mencukupi dan hasil tanaman itu turut dibekalkan ke negeri-negeri lain.