ARAU: Pertubuhan Perpaduan Ummah dilancarkan secara rasmi pada Sabtu selepas menerima kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), 29 Disember lalu.

Menurut Setiausaha Agung penajanya Datuk Seri Shahidan Kassim, penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan bertujuan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti selain memfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan.

Jelasnya, pertubuhan berkenaan juga akan diperluaskan ke kesemua 222 Parlimen di seluruh negara dalam memastikan usaha membentuk kerjasama seluruh rakyat dapat direalisasikan selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Tambah beliau, pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah adalah bagi menunaikan salah satu janji di dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis yang mana struktur kepimpinan negeri itu akan diketuai oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

"Keahlian (bagi Pertubuhan Perpaduan Ummah) akan dibuka bermula malam ini (iaitu sejurus selepas ia dirasmikan).

"Saya difahamkan Perpaduan Ummah (ini menerima) banyak sokongan dari media sosial.

"(Untuk masyarakat dari) Parlimen yang lain (yang berminat) juga boleh teruskan (dengan mendaftar sebagai ahli), alamat individu berkenaan akan ditentukan di Parlimen mana mereka akan berada.

"Untuk (organisasi pula), saya adalah pemudah cara sahaja. Selepas ini, pertubuhan ini akan dipimpin orang yang lebih hebat dan berjenama," kata Shahidan.

Shahidan berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah, pada Sabtu.

Menurutnya, pelancaran pertubuhan itu dilaksanakan di Parlimen Arau adalah bagi memastikan struktur organisasinya dapat dicontohi di Parlimen yang lain.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan penubuhan Pertubuhan Perpaduan Ummah bukannya bagi 'melawan' sebuah NGO iaitu Muafakat Nasional yang diketuai Tan Sri Annuar Musa.

"Tidak ada masalah (di antara saya dan Tan Sri). Muafakat Nasional (MN) juga NGO, Perpaduan Ummah adalah NGO.

"Cuma kami (PN) di Perlis di dalam poster (pilihan raya) sudah tulis Perpaduan Ummah, (negeri lain semua gunakan) PN Best.

"Tetapi kami tambah Perpaduan Ummah kerana sudah tidak mampu melihat perpecahan yang berlaku.

"Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah.

"Masuk tiga atau empat tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa Perpaduan Ummah lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu," kata Shahidan.

Pada 12 Disember lalu, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa bahawa NGO berkenaan telah menerima lebih 10,000 permohonan selepas beberapa jam permohonan dibuka.

Sokongan yang ditunjukkan, jelasnya, memberi satu kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang.

Beliau memaklumkan MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.