KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka menunjukkan pemulihan yang lebih baik tahun hadapan, iaitu pada unjuran empat hingga 4.5 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajjji Noor berkata, unjuran itu berdasarkan pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi, sejajar pada peringkat nasional dan global.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah memeterai tiga pelaburan besar membabitkan nilai lebih RM10 bilion bersama syarikat pemaju, pada Mac lalu.

"Antara tiga pelaburan awal baharu yang telah dimeterai pada 22 Mac ialah industri pembuatan kerajang tembaga di KKIP bernilai RM4.2 bilion; Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM7 bilion dan projek penanaman kelapa berhasil tinggi.

“Kita yakin, dengan pelaksanaan pelbagai projek ini, prospek ekonomi Sabah pada tahun 2022 dijangka menunjukkan arah aliran pemulihan yang lebih baik, sejajar dengan peringkat nasional dan global.

"Ekonomi Sabah dijangka berkembang pada 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2022," katanya ketika merasmikan majlis Mengangkat Sumpah bagi AJK Pusat Penggal ke-13 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Roland Chia.

Hajiji yang juga merangkap Menteri Kewangan negeri berkata, pertumbuhan ekonomi Sabah pada tahun ini dijangka berkembang secara perlahan, namun pada kadar positif 3.8 peratus hingga empat peratus.

Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan oleh kerajaan Persekutuan berjaya mempercepatkan lagi usaha pemulihan ekonomi Sabah.

“Dalam ucapan Belanjawan 2022 awal bulan ini, saya telah menegaskan bahawa strategi dan pendekatan kita adalah untuk mempercepatkan pembangunan yang akan tertumpu kepada sektor pertumbuhan produktif dan sektor penting dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Bagi tahun 2022, kita memperuntukkan sebanyak RM919.18 juta untuk pembangunan sektor berkenaan. Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak RM8.48 juta daripada RM910.7 juta pada tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, FCAS memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan dalam pemulihan ekonomi negeri ini.

Beliau turut menggesa semua ketua industri dalam FCAS untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negeri yang turut terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Justeru, dengan pengaruh, kepakaran dan rangkaian FCAS yang luas, saya yakin gabungan ini akan memanfaatkan semua inisiatif kerajaan serta memainkan peranan dalam usaha memulihkan ekonomi negeri ini,” katanya lagi.