MALAYSIA
Pertumbuhan KDNK bukti dasar Ekonomi MADANI jana hasil - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata permintaan domestik yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia, mengekalkan pertumbuhan pada kadar 4.4 peratus bagi suku kedua 2025. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Dalam ekonomi global berdepan ketidaktentuan, prestasi Malaysia pada separuh pertama 2025 membuktikan dasar-dasar di bawah Kerangka Ekonomi MADANI menjana hasil untuk negara dan rakyat khususnya, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kadar pengangguran susut kepada 3 peratus berbanding 3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya manakala inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus sebelum ini, mencerminkan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan.
"Pengukuhan ringgit sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar AS pada suku kedua 2025, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia seterusnya mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara.
"Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus komited dalam mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025 bersamaan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Amir Hamzah berkata permintaan domestik yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia, mengekalkan pertumbuhan pada kadar 4.4 peratus bagi suku kedua 2025.
Katanya ini meletakkan pertumbuhan KDNK bagi separuh pertama 2025 pada 4.4 peratus, menepati ambang unjuran rasmi 4 peratus hingga 4.8 peratus.
Permintaan domestik meningkat 7 peratus pada suku kedua 2025, mengatasi pertumbuhan 6 peratus yang dicatat pada suku tahun sebelumnya, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang rancak, pasaran buruh yang kukuh, inflasi yang mendatar dan pelaburan sektor swasta yang memberangsangkan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan pada suku tahun ini disokong oleh prestasi berdaya tahan sektor perkhidmatan (5.1 peratus) dan pembuatan (3.7 peratus).
Sektor perkhidmatan menerima limpahan daripada peningkatan perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan yang rancak manakala pertumbuhan sektor pembuatan terus disokong oleh pengembangan berterusan dalam industri berorientasikan eksport dan domestik.
Beliau berkata langkah tarif yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan cabaran baharu kepada industri terlibat.
Sehubungan itu, katanya Kerajaan MADANI giat memantau potensi impak perkembangan ini dan kekal komited untuk menyediakan sokongan bersasar bagi melindungi daya saing dan meminimumkan gangguan perdagangan.
"Langkah ini, bersama-sama dengan reformasi struktural yang lebih meluas, telah menyokong momentum pertumbuhan yang stabil dan menyeluruh pada suku tahun ini," katanya.
Berpandukan Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Kewangan sedang merangka Belanjawan 2026 melalui sesi libat urus komprehensif bersama pihak berkepentingan di pelbagai sektor dan negeri.
Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2026 yang dikeluarkan baru-baru ini, keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan langkah reformasi ekonomi dan struktural bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara saksama dan mampan oleh rakyat.
Amir Hamzah berkata usaha ini penting untuk mengukuhkan asas ekonomi serta memastikan Malaysia kekal tangkas dan berdaya tahan dalam persekitaran global yang dinamik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami