CUACA pada pagi Jumaat 19 Mei di Stockholm, Sweden, begitu dingin dengan suhu 11 darjah Celsius.

Sekumpulan kira-kira 30 orang anak muda berkumpul di hadapan bangunan Parlimen Sweden berhampiran Gamla Stan, terletak di kawasan lama bandar itu. Mereka melaungkan slogan dan memegang sepanduk dalam bahasa Sweden bermaksud 'Mogok Sekolah Kerana Iklim,' 'Hutan Tidak Boleh DiPerbaharui' dan 'Pulihkan Alam Semula Jadi'.

Secara tiba-tiba, seorang daripada mereka menjerit, "Apa yang kami mahu? Keadilan Iklim! Bila kami mahukannya? Sekarang" . Suara itu adalah tidak lain dan tidak bukan suara aktivis alam sekitar Sweden, dan ikon aktiviti menentang perubahan iklim Sweden, Greta Thunberg. Beliau kini memasuki minggu ke-248 mogok sekolah 'Fridays For Future' yang dimulakannya bagi menentang krisis iklim dan menggesa pemimpin bertindak.

Penulis dan empat wartawan lain dari Indonesia, Argentina, Bulgaria dan Itali berada di Stockholm untuk menghadiri bengkel mengenai 'Green Recovery and Just Transition' anjuran Internews Earth Journalism Network berpangkalan di United Kingdom dan Swedish Postcode Foundation dari 15 Mei hingga 18 Mei lepas. Kami berpeluang menyaksikan mogok iklim mingguan yang disertai Thunberg, 20.

Pejuang kempen iklim itu hanya berusia 15 tahun ketika melancarkan mogok Fridays For Future iaitu pada tahun 2018 di luar bangunan Parlimen Sweden. Mogok yang dimulakannya itu kemudian menjadi satu gerakan global melibatkan ribuan pelajar di 7,500 buah bandar, ponteng sekolah untuk beberapa jam pada hari Jumaat bagi memprotes perubahan iklim.





LANTANG TETAPI PEMALU



Saya dan empat rakan wartawan yang berada di tempat mogok minggu ke-248 itu begitu berharap dapat menemu bual Thunberg tetapi apabila kami menghampiri beliau dan memperkenalkan diri, beliau ternyata tidak berasa selesa. Pada tahun 2019, beliau menjadi orang termuda dinamakan Person of the Year oleh Majalah Time, malah ada sekali Thunberg dicalonkan untuk Hadiah Nobel.

"Tolong, jangan ambil gambar lagi!" beliau bersuara, sambil memalingkan wajahnya, untuk mengelakkan daripada lensa kamera. Berbaju T warna merah jambu dan seluar pendek hitam, beliau menjauhkan diri daripada para pemberita dan menyertai mereka yang mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.

Bagaimanapun, kami tidak pulang dengan tangan kosong. Seorang wanita muda memperkenalkan dirinya sebagai aktivis rakan Thunberg dan memberikan namanya, Isabelle Axelsson dan bersetuju untuk ditemu bual.

Berkongsi bagaimana gerakan Fridays For Future bermula, beliau menyatakan, pada mulanya, ia dijadualkan untuk tiga minggu sahaja. Thunberg duduk sendirian di luar bangunan Parlimen Sweden menuntut tindakan segera untuk menangani krisis pemanasan global.

"Kami kemudian menyertai beliau dalam mogok itu dan mewujudkan hashtag #FridaysForFuture dan menggalakkan orang muda lain untuk melancarkan mogok di negara masing-masing.

"Sewaktu arahan berkurung (akibat pandemik COVID-19), kami buat mogok dalam talian. Buat diri saya, saya tak turut protes sekiranya perlu, seperti jika saya sakit tapi biasanya saya akan berusaha untuk turut serta," kata Axelsson.

Di Stockholm, demonstrasi dibuat setiap pagi hari Jumaat walaupun ketika salji turun,

"Ada ketika suhu jatuh sehingga -12 darjah Celcius tetapi kami tetap teruskan dengan protes kami," kata pelajar Universiti Stockholm berusia 21 tahun itu sambil ketawa.

Untuk seorang yang lantang memperjuangkan isu iklim dan sudah biasa berucap di hadapan kumpulan ramai serta menempelak pemimpin dunia di pentas antarabangsa kerana tidak cukup bertindak menangani perubahan iklim, Thunberg kelihatan pemalu tetapi ia bukan satu yang memeranjatkan kerana beliau mempunyai sindrom Asperger.

Mereka yang didiagnos dengan penyakit ini sering mempunyai masalah dengan interaksi sosial. Hakikatnya, dalam bio Twitter, Thunberg menggambarkan dirinya sebagai "aktivis keadilan iklim autistik".





MOGOK SEKOLAH TERAKHIR THUNBERG



Thunberg, yang dalam bukunya bertajuk 'The Climate Book' mengisytiharkan beliau mengamalkan gaya hidup vegan dan mengelakkan mengambil penerbangan yang menggunakan bahan api fosil serta membeli pakaian sebagai sumbangannya kepada alam sekitar, mengumumkan di Twitter pada Jumaat, 9 Jun bahawa mogok Fridays For Future pada hari itu (mogok minggu ke- 251) adalah yang terakhir bagi beliau kerana beliau akan tamat sekolah tinggi.

Berikrar untuk terus menyuarakan isu iklim, beliau menghantar tweet, "Hari ini, saya sudah tamat sekolah tinggi, bermakna saya tidak lagi menyertai mogok sekolah untuk iklim. Ini adalah mogok sekolah terakhir saya.

"Kami masih di sini, dan kami tidak merancang untuk ke mana-mana. Banyak yang berubah sejak mogok sekolah dimulakan, dan masih banyak yang perlu dilakukan."

Dalam setiap agenda global yang melibatkan beliau memberi ucapan, Thunberg sering melontarkan kecaman terhadap ahli politik dan pemain industri yang beliau dakwa, mengabaikan kesejahteraan bumi semata-mata untuk keuntungan kewangan.

Pada 15 Jun lepas, seminggu selepas menyertai mogok sekolahnya yang terakhir, Thunberg berucap di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di Bonn, Jerman, dan memberi amaran bahawa kegagalan untuk menamatkan penggunaan bahan api fosil akan menjadi "hukuman mati" bagi jutaan manusia di seluruh dunia.

Beliau dan aktivis lain mengulangi semula komitmen mereka untuk meneruskan perjuangan menentang penggunaan bahan api fosil yang menyumbang besar kepada pemanasan global dan perubahan iklim.

Thunberg juga menggesa pembuat dasar untuk melaksanakan pelan bertindak yang dapat memenuhi matlamat yang digariskan dalam Perjanjian Paris 2015 yang ditandatangani oleh pemimpin dunia yang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim UN (COP21).

Matlamat berkenaan termasuk mengurangkan dengan banyak pelepasan gas rumah hijau bagi mengehadkan kenaikan suhu global pada abad ini kepada dua darjah Celcius sementara meneruskan usaha mengehadkan kenaikan selanjutnya kepada 1.5 darjah.





MODEL CONTOH UNTUK BELIA MALAYSIA



Ketika Thunberg memberi inspirasi kepada ramai belia di banyak negara untuk menyertai mogok Fridays For Future untuk menuntut lebih banyak tindakan menangani isu iklim serta menggesa pemimpim mereka 'membersihkan' alam sekitar untuk generasi akan datang, golongan belia Malaysia nampaknya tidak mengikut jejak langkah mereka.

Malaysia juga mempunyai aktivis muda tetapi apakah mereka mempunyai potensi untuk mengubah dunia dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang pentingnya isu perubahan iklim?

Perunding Iklim Belia Malaysia Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Mogesh Sababathy berkata, kanak-kanak serta beliau boleh memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim dengan menawarkan perspektif kritikal dan melaksanakan tindakan yang membina.

"Bagaimanapun, di Malaysia, terdapat halangan untuk penyertaan belia dalam tindakan iklim ... kita jarang melihat golongan muda diberi suara serta peranan perwakilan untuk berkongsi perspektif mereka dan apa pandangan mereka untuk menangani isu perubahan iklim.

"Golongan belia dan orang muda kurang menyumbang kepada perubahan iklim tetapi kami juga kumpulan yang paling banyak terkesan," beliau memberitahu seminar mengenai Sustainability Leadership (Kepimpinan Kelestarian) 2023, yang diadakan di Putrajaya dan anjuran Kursi Kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sime Darby.

Mogesh, yang mewakili Malaysia di persidangan perubahan iklim dan perhimpunan belia sejak tahun 2015, berkata, meskipun Malaysia hanya melepaskan kurang dari 0.7 peratus pelepasan karbon global, tetapi seperti negara lain, ia masih perlu memainkan peranan untuk menangani dengan segera perubahan iklim global.

"Tindakan yang kecil sebenarnya boleh menghasilkan sesuatu yang besar. Sebagai aktivis belia iklim, apa yang saya lakukan dalam kedudukan peribadi saya adalah untuk memberitahu orang bahawa tindakan itu boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

"Anda tidak perlu mempunyai organmisasi untuk keluar dan anjurkan protes atau demonstrasi tetapi anda boleh lakukan dari rumah. Mulakan bercakap dengan rakan dan keluarga, itu yang saya lakukan," katanya.

Seperti yang disebut oleh Thunberg dalam bukunya yang lain bertajuk 'No One is Too Small to Make a Difference', Mogesh berkata, setiap belia mempunyai kemampuan untuk memulakan dengan 'langkah yang kecil' untuk berkongsi perspektif mereka mengenai perubahan iklim atau mengamalkan tindakan iklim dalam kehidupan harian mereka.

"Mereka secara aktif boleh melibatkan diri dalam inisiatif persekitaran, menjadi sukarelawan, menyertai kerja pembersihan, meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan planet kita dan menyokong perniagaan yang memberi keutamaan kelestarian serta tanggungjawab persekitaran.

"Mereka juga boleh mengurangkan sisa plastik, membawa beg boleh pakai semula, botol air dan penyedut minuman serta memilih produk yang dibungkus secara minimum dan meuar-uarkan tuntutan kelestarian," katanya.

Beliau menambah, dengan melibatkan diri dalam inisiatif kelestarian, meningkatkan kesedaran serta memperjuangkan dasar persekitaran yang lebih kuat, individu muda boleh mempengaruhi komuniti mereka dan mendorong kerajaan dan perbadanan memberi keutamaan kepada tindakan iklim.

"Mereka boleh menuntut perubahan sistemik dan membantu membentuk masa depan yang mampan untuk generasi akan datang. Banyak cara untuk setiap seorang daripada kita untuk memainkan peranan dalam perjuangan menentang perubahan iklim," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan untuk mewujudkan mekanisme strategik yang membolehkan penglibatan komuniti dalam bentuk yang lebih inklusif, terutama memberi belia suara untuk melahirkan pandangan mereka tentang pelbagai topik termasuk perubahan iklim.

"Jelas golongan muda berada di barisan depan untuk isu iklim. Kedudukan golongan muda ini perlu diiktiraf sebagai pemegang taruh yang penting dalam memberi sumbangan kepada tadbir urus iklim. Masa depan terletak dalam tangan golongan muda dan ini kita tidak boleh nafikan," tambahnya.

-- BERNAMA