KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang perlu segera duduk semeja bagi mencapai kata sepakat berhubung peruntukan sama rata kepada kepada semua wakil rakyat.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomudin Bakar berpandangan isu peruntukan belum menemui jalan penyelesaian dipercayai kerana tidak mendapat kerjasama yang sepatutnya daripada Ahli-ahli Parlimen, khususnya daripada pembangkang.

Begitu pun, beliau berkata perkara ini menuntut sikap terbuka kerajaan dan pembangkang untuk tampil menyelesaikan kemelut tersebut.

"Kita tahu sebenarnya Kerajaan Perpaduan, saya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebenarnya bagi pihak kerajaan, mereka bersikap terbuka untuk mempertimbangkan tuntutan untuk berikan agihan yang sama rata.

"Namun, ketika ini yang dituntut adalah cadangan daripada pihak pembangkang, yang mana sesi untuk menuntut (pandangan) itu  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, tidak mendapat maklum balas yang baik daripada pembangkang.

"Jadi saya merasakan itu adalah faktor yang menyebabkan perihal berkaitan peruntukan kepada pembangkang masih belum berkesudahan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Semalam, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien mencadangkan agar mewujudkan undang-undang baharu mengenai pemberian peruntukan khas kepada semua Ahli Parlimen termasuk di blok pembangkang.

Mengulas lanjut, Hisomudin berkata kedua-dua belah pihak perlu menunjukkan iltizam politik bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing dapat dibela.

Mengambil contoh ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menambah kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat stabil dan tidak perlu untuk memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bagi memberi peruntukan yang adil kepada pembangkang.

"Dalam situasi di mana Kerajaan Perpaduan (memiliki sokongan) 147 Ahli Parlimen, sudah tentu kerajaan tidak menghadapi masalah (untuk meluluskan Rang Undang-Undang).

"Tetapi di sini lebih kepada kuasa budi bicara kerajaan dan Menteri Kewangan untuk mempertimbangkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

"Tetapi dalam situasi sekarang, isu ini berlarutan kerana sikap pembangkang yang tidak memberi kerjasama yang baik untuk berunding seperti mana dinyatakan tadi, Fadillah memerlukan perincian dan cadangan untuk peruntukan yang dituntut," ujarnya.

Pada 2021, kerajaan pimpinan Ismail Sabri melakar sejarah apabila julung kali memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.