KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) didakwa melaksanakan perolehan pakaian sukan yang tidak berkualiti dan berjenama untuk dibekalkan kepada anggota tentera.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa pakaian dan kasut sukan yang dibekalkan itu disifatkan sebagai 'cap ayam', sedangkan peruntukan yang disediakan bagi tujuan itu adalah berjumlah RM140 juta.

Beliau menambah, peruntukan yang besar itu sepatutnya digunakan oleh Mindef untuk menyediakan pakaian sukan berjenama antarabangsa dan berkualiti.

"Ini berbeza dengan negara jiran kita, Singapura yang memilih jenama antarabangsa untuk anggota tentera mereka yang terbukti berkualiti tinggi iaitu jenama New Balance.

"Saya percaya jumlah RM140 juta yang diperuntukan untuk 2024 dan 2023 ini jika dicampurkan berjumlah RM280 juta, cukup untuk Mindef melaksanakan perolehan bagi pakaian sukan yang berkualiti tinggi dan mempunyai jenama antarabangsa.

"Mungkin sudah tiba masanya Mindef mempertimbangkan perolehan secara tender terbuka bagi Program Head to Toe ini untuk memperolehi pakaian sukan jenama berkualiti, contohnya seperti Nike, Adidas, UnderArmour ataupun New Balance agar anggota-anggota tentera kita sentiasa dibekalkan dengan barangan berkualiti tinggi dan tahan lasak," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Mindef.

Sementara itu, Menteri Mindef, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi penggulungan kementeriannya memaklumkan, perolehan pakaian sukan anggota tentera dilaksanakan secara tender terbuka.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu, petender diwajibkan mengemukakan sampel kepada Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (Stride) terlebih dahulu untuk memastikan ia memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Ikmal Hisham kemudian bangkit mencelah, mencadangkan agar Stride melakukan uji kaji terhadap perolehan pakaian sukan, kerana ketika ini hanya baju celoreng dan kasut kulit yang menjalani ujian berkenaan.