PUTRAJAYA: Peruntukan interim masing-masing berjumlah RM300 juta kepada Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan secepat mungkin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bil 1/2023, di sini pada Selasa, Fadillah berkata ia adalah sepertimana diperuntukkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63.

Perkara 112D merujuk kepada kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.

"Berhubung peruntukan di bawah Perlembagaan (Persekutuan) di mana kedua-dua kerajaan Sabah dan Sarawak selepas perbincangan, dipersetujui bahawa peruntukan interim sebanyak RM300 juta (untuk setiap) negeri berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin.

Sekarang ini apa yang diperlukan sudah pasti adalah dari segi pentadbiran dan hari ini dipersetujui beberapa kaedah untuk digazetkan. RM300 juta itu akan diperuntukkan secepat mungkin sebaik sahaja gazet berhubung perkara ini dapat dibuat oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata satu jawatankuasa turut dibentuk untuk memastikan formula pengagihan peruntukan dimuktamadkan dalam tempoh setahun.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan jumlah pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan dan prinsip pemberian tersebut diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan kedua-dua negeri lebih mundur semasa pembentukan Malaysia.

Menurut Anwar lagi, di bawah MA63, peruntukan khas 112D menetapkan peruntukan munasabah kepada Sarawak dan Sabah yang mula diberi masing-masing pada kadar RM16 juta dan RM26 juta, dan harus dikaji setiap lima tahun namun perkara itu tidak berlaku.

-- BERNAMA