Peruntukan sebanyak RM29.2 bilion kepada Sarawak dan Sabah dalam Bajet 2016 perlu diurus dengan bijak dan efektif tanpa halangan birokrasi yang kurang cekap, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan
Nasional (BN) Sarawak, Abdullah Saidol.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semop berkata peruntukan tersebut juga perlu diuruskan tanpa terlalu banyak pertindihan fungsi kementerian atau jabatan tertentu.

"Sebab itulah usaha bersungguh-sungguh mestilah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menuntut 'Administrative Autonomi' dan 'Devolution of powers' daripada Kerajaan Persekutuan di mana antara objektifnya ialah untuk memastikan Pelan Pembangunan Negeri terutama sekali di kawasan luar bandar diurus dengancepat dan berkesan," katanya di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata beliau juga percaya rakyat Sarawak daripada bangsa Dayak akan menghargai peruntukan Pinjaman Tanpa Faedah untuk membina Rumah Panjang dengan pinjaman sebanyak RM50,000 untuk setiap unit seperti mana diumumkan semalam.

"Seperkara yang menarik juga ialah peruntukan sebanyak RM260 juta bagi tujuan menyelaras harga barang asas yang terpilih melalui initiatif program 1Harga 1Sarawak.

"Selama ini warga pedalaman sentiasa dibebani oleh harga barangan asas yang terlalu mahal," katanya.

Abdullah berkata bagaimanapun initiatif itu tidak akan mencapai matlamat jika penguatkuasaan oleh agensi berkenaan tidak tegas dalam memerangi sesetengah golongan peruncit atau pembekal yang menjadi pengkhianat kepada usaha kerajaan untuk mensejahterakan rakyat.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau percaya semua rakyat Sarawak gembira dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo tetapi dalam masa yang sama beliau juga ingin menekankan bahawa cadangan pembinaan Lebuhraya Pesisir juga sama penting.

Katanya kawasan pesisir mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di mana berbagai aktiviti ekonomi sedang dan mampu dirancakkan jika di sokong oleh pembinaan lebuhraya pesisir ini.

"Kawasan pesisir mempunyai berbagai potensi dari segi pembangunan kawasan industri berat, pelabuhan laut dalam, industri kecil dan sederhana, aktiviti perikanan dan perladangan, pelancongan, keselamatan dan berbagai lagi.

"Dalam melaksanakan berbagai projek pembangunan, kita mahu melihat projek-projek yang dijalankan hendaklah memenuhi dengan tepat keperluan rakyat, bukan projek-projek yang dilobi oleh sesetengah pihak yang hanya mementingkan keuntungan serta kurang arif tentang keadaan sekitar serta keperluan masyarakat di mana projek itu dijalankan," katanya.

Beliau berkata ada sesetengah projek berakhir dengan perbelanjaan melebihi dari apa yang diperlukan, keutamaan yang tidak betul dan lebih teruk projek terbengkalai.

"Saya tidak sabar untuk melihat pembentangan belanjawan negeri oleh Ketua Menteri dalam persidangan DUN yang akan datang dimana saya yakin banyak berkiblatkan ke arah pembangunan luar bandar," katanya.