PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan bahawa terdapat pengurangan peruntukan pengurusan yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2021 seperti didakwa sesetengah pihak.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min menjelaskan perbelanjaan itu telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah program khusus.

Katanya lagi, semua peruntukan untuk bekalan perubatan bagi keperluan farmasi hospital, klinik kesihatan termasuk klinik pergigian diletakkan di bawah aktiviti dan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Bagaimanapun, mulai tahun 2021, peruntukan bekalan perubatan bagi keperluan di atas yang berjumlah RM4.29 bilion dipindahkan di bawah Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan (RM2.89 bilion) dan di bawah Komitmen Kewangan bagi Pelaksanaan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat dan Stor (RM1.4 bilion).

“Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan (ubat, gas perubatan, reagen, vaksin, consumables dan filem x-ray) ini diletakkan di bawah Butiran Program Khusus.

“Konsesi Penswastaan Makmal Ubat dan Stor pula diletakkan di bawah Butiran Komitmen Kewangan,” katanya pada sesi taklimat media di bangunan kementeriannya pada Ahad.

Tambahnya, sejumlah RM2.065 bilion peruntukan bagi Perkhidmatan Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) juga telah dipindahkan daripada Peruntukan Mengurus kepada Peruntukan Pembangunan.

“Jadi, secara umumnya, ramai melihat terdapat pengurangan peruntukan mengurus KKM sebanyak 2.57 peratus pada tahun ini. Bagaimanapun, perkara ini adalah kurang tepat,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif kesihatan tidak hanya terletak di bawah KKM semata-mata tetapi turut membabitkan kementerian lain.

“Sebagai contoh, inisiatif pengurangan cukai bagi perbelanjaan perubatan dan MySalam di bawah Kementerian Kewangan, program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan pembinaan taska buat petugas barisan hadapan,” katanya.

Tambah beliau, meskipun ketika ini fokus dan keutamaan diberikan dalam usaha memerangi wabak koronavirus (COVID-19), namun aspek kesihatan lain tidak dipinggirkan.

Menurut beliau, peruntukan disediakan KKM dalam Belanjawan 2021 itu telah mengambil kira segala keperluan untuk membolehkan kementerian berkenaan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.