ROMPIN: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM103.8 juta bagi pelaksanaan tujuh projek untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dua daripada tujuh projek itu juga telah siap dilaksanakan iaitu, Loji Rawatan Air (LRA) Sepayang bagi meningkatkan tekanan air, pada bulan lepas dan projek membekal air terawat di Kampung Merlak, pada April lepas.

Sementara lima lagi projek masih dalam proses prapembinaan iaitu membina dan menyiapkan LRA Sepayang Fasa Dua, pembinaan rumah pam dan tangki sedutan di Tanjung Gemuk, pemasangan paip dari retikulasi LRA Selendang ke tangki perkhidmatan Parit Raja, pemasangan paip merentasi Sungai Anak Endau dan projek bekalan air luar bandar Kampung Tekek di Pulau Tioman.

Semua projek di bawah kelolaan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) itu dijadualkan siap antara Disember 2023 hingga 2025.

"Projek ini bakal memanfaatkan lebih 10,000 penduduk di kawasan DUN Tioman dan ini salah satu usaha kita untuk menyelesaikan masalah air di Pahang, yang dijalankan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan Isu Air Bersih di sini esemalam.

Selain Tioman, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga menyasarkan untuk menyelesaikan 90 peratus masalah bekalan air bersih di Pahang dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan kerajaan negeri tidak mengambil berat berhubung masalah bekalan air di negeri ini, namun penyelesaiannya mengambil masa dan perlu dilakukan secara berperingkat.

Keseriusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah air di Pahang juga menyebabkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.3 bilion, seperti yang dinyatakan Wan Rosdy pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Ogos lepas.

-- BERNAMA