MALAYSIA
Peruntukan tambahan diperlukan untuk selenggara jalan - Ahmad Maslan

Menurut Ahmad, biasanya selepas 10 hingga 20 tahun, jalan perlu diselenggara bagi memastikan ia selamat digunakan tetapi kita di kementerian menghadapi masalah kekurangan peruntukan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memerlukan peruntukan tambahan bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya yang disifatkan semakin mendesak dalam usaha memastikan tahap infrastruktur berada dalam keadaan terbaik.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara punca utama kerosakan jalan di Malaysia adalah faktor cuaca seperti hujan lebat dan suhu panas, kenderaan membawa muatan melebihi had ditetapkan serta jangka hayat jalan.
"Seperti manusia, jalan raya juga mempunyai jangka hayat. Biasanya selepas 10 hingga 20 tahun, jalan perlu diselenggara bagi memastikan ia selamat digunakan tetapi kita di kementerian menghadapi masalah kekurangan peruntukan.
"Untuk menyelenggara jalan raya dengan baik pada tahun ini , kami memerlukan RM4 bilion namun kami hanya menerima RM2.2 bilion iaitu kekurangan sebanyak RM1.8 bilion atau 45 peratus."Bagaimanapun, kami akan terus berusaha untuk mendapatkan bajet yang lebih besar pada tahun hadapan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Selasa.
Beliau berkata, berdasarkan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 13 peratus kemalangan adalah berpunca daripada keadaan jalan seperti ketiadaan garisan, jalan berlubang dan pencahayaan yang kurang mencukupi.
"Tujuh peratus pula disebabkan oleh faktor kenderaan manakala kecuaian manusia kekal penyumbang utama kepada kadar kemalangan iaitu sebanyak 80 peratus.
"Angka kematian akibat kemalangan jalan raya kekal tinggi sekitar 6,000 orang setahun dan ini menunjukkan keperluan untuk menangani punca-punca berulang termasuklah faktor keadaan jalan," katanya.
Ketika bersiaran pada program itu, Ahmad memaklumkan, aplikasi mudah alih 'MyJalan' yang dilancarkan sejak Ogos 2023 telah memudahkan orang awam untuk membuat aduan tentang kerosakan jalan dan kesemua aduan akan diterima di bawah konsep No Wrong Door Policy.
Ia termasuk aduan di luar bidang kuasa kementerian dan akan disalurkan kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk jalan luar bandar; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi jalan bandaran serta Jabatan Kerja Raya negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami