KUALA LUMPUR : Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berpendapat, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz tidak akan mendapat peruntukan RM30 juta seperti yang diminta sebelum ini di Parlimen.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi Dan Digital berkata, pendirian yang dibuat untuk menyokong Perdana Menteri itu juga atas kehendaknya sendiri.

Menyentuh mengenai jumlah peruntukan yang diminta, Fahmi menyatakan kawasannya sendiri juga tidak menerima jumlah setinggi itu.

“Saya tak rasa begitu (terima peruntukan RM30 juta) kerana saya sendiri tak dapat sebanyak itu. Saya berpendapat dia (Syed Abu Hussin Hafiz) cuba untuk mengutamakan projek-projek di kawasan beliau.

“Di kawasan saya juga ada cadangan untuk bina dua Klinik Kesihatan Awam dengan kos RM45 juta dan saya tak terima satu sen pun namun usaha itu kelak akan manfaatkan rakyat kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program  “PNB Cyber Day” di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengulangi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa peruntukan seumpama itu akan disalurkan terus kepada rakyat dan tidak melalui Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri sama ada untuk mempertimbangkan permintaan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu atau sebaliknya.

Pada 9 Nov lalu, Ahli Parlimen PN itu berkata, beliau sedia menzahirkan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan sekiranya permintaan peruntukan RM30 juta itu dituruti bagi pembangunan di kawasannya.

Syed Abu Hussin Hafiz adalah individu kelima yang mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Okt lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Okt, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.