PUTRAJAYA: Peruntukan tambahan RM350 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) membolehkan kementerian memperluas dan mempercepat pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu amat penting bagi melonjakkan pelaksanaan pendigitalan perubatan selain memberi suntikan semangat dan meningkatkan kredibiliti usaha berkenaan.
“Dengan peruntukan ini, ia memberikan kami bukan saja suntikan semangat, malah membentuk kredibiliti dan menyegerakan pendigitalan sektor kesihatan awam selain dapat menggandakan jumlah sasaran fasiliti kesihatan awam (dilengkapi sistem digital),” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Beliau berkata KKM juga akan memastikan pelaksanaan inisiatif itu digerakkan dengan segera dan lebih cekap, termasuk meneliti keperluan di hospital dengan dirinya juga akan turun padang bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata pelaksanaan pendigitalan kesihatan awam itu berskala besar, melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan di seluruh negara.
“Inisiatif ini dijangka membantu meningkatkan kecekapan sistem kesihatan awam, termasuk memendekkan masa menunggu, memperbaik pengalaman pesakit dan mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan.
“Selain itu, ia juga membantu memperbaik situasi kerja dan meningkatkan produktiviti petugas kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Kementerian Digital bersedia melaksanakan program kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Beliau berkata kementerian telah membuat persiapan yang diperlukan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pelancaran AI Malaysia baru-baru ini.
Gobind berkata sasaran 100,000 peserta bagi program itu diyakini dapat dicapai dengan pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat.
“Memang boleh. Kita (akan laksanakan) ikut peringkat,” katanya.
Beliau berkata terdapat ramai yang berminat menyertai program itu dan berharap pelaksanaan program itu dapat diperluas selepas ini.
Pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan semalam, Perdana Menteri mengumumkan enam ikhtiar termasuk peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan serta langganan AI percuma selama tiga bulan dengan sasaran awal 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun.
-- BERNAMA