KOTA BHARU: Tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiga Ahli Parlimen tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.

"Kami telah ada tiga wakil daripada pembangkang untuk mengadakan rundingan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada asnaf, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PN turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

"Kami menyambut baik kenyataan beliau dan kami nak tengok bukti. Kami harap dapat disegerakan dan saya jangka rundingan itu sekali sahaja dah boleh selesai," katanya.

"Berkenaan kandungan rundingan termasuk syarat, jumlah peruntukan yang bakal diterima saya tidak mempunyai perincian, kita tengoklah nanti," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, rundingan pembahagian kerusi untuk PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berjalan lancar.

"Pengagihan kerusi dah berjalan di peringkat jawatankuasa rundingan namun belum dibawa ke jawatankuasa induk untuk disahkan, saya kira tidak ada banyak masalah dan berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai ura-ura bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan menyertai Pas, Tuan Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai berita tersebut tetapi mengalu-alukannya sekiranya benar.

"Saya tak ada maklumat berita tersebut, tetapi kalau ada, mungkin beliau berurusan terus dengan Setiausaha Agung Pas (Takiyuddin).

"Kami dengar ura-ura dia nak bersama Pas dan kami mengalu-alukan penyertaannya, bukan sahaja beliau tetapi sesiapa sahaja daripada UMNO yang kena gantung atau dipecat," katanya. - BERNAMA