SUNGAI PETANI: Seorang pesakit COVID-19 maut dalam nahas kemalangan jalan raya selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Nahas berkenaan berlaku di simpang empat lampu isyarat berdekatan Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani pada pagi ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu mangsa menunggang motosikal jenis SM Bonus dan didapati memakai gelang kuarantin dalam perjalanan ke pekan Sungai Petani dari rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa didapati menunggang dengan melulu dan melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat itu.

"Mangsa merempuh bahagian sisi kanan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang tukang paip berumur 46 tahun.

"Akibat rempuhan kuat itu, Muhamad Amir maut di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan Mitsubishi Triton yang ketika kejadian sedang bergerak dari arah Kelab Cinta Sayang itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Anuar, semakan rekod dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa, Muhamad Amir Daniel, 25, positif COVID-19 dan dalam proses kuarantin.

Tambah Anuar, mangsa juga dikesan merupakan orang dikehendaki pihak polis selain mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.