KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri yang kini telah menjangkiti 19 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini memaklumkan kes indeks Kluster Rantau Lada telah ke negeri Pahang dari Selangor.

"Kluster ini melibatkan daerah Temerloh dan Maran di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-133,326) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Selangor.

Perincian Kluster Rantau Lada yang dikeluarkan KKM hari ini.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman keluarga kes indeks iaitu di Kampung Bukit Lada, Temerloh, Pahang.

"Sehingga 17 Januari 2021, sejumlah 58 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," memetik kenyataan itu.

Sebelum ini, KKM telah melaporkan beberapa kluster yang dikesan melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri lain.