KUANTAN: Seorang pesara guru kerugian RM138,101 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis dan pegawai pusat keselamatan Putrajaya.

Wanita berusia 59 tahun itu diperdaya kononnya terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan senjata api.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa mangsa itu bermula 17 Februari lalu selepas dia menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai pusat keselamatan Putrajaya memaklumkan mengenai kes jenayah berat dihadapinya itu.

Menurut Yahaya, mangsa kemudiannya dirujuk kepada seorang pegawai polis melalui sambungan talian bagi tujuan siasatan.

"Suspek mengarahkan mangsa memasukkan kesemua wang miliknya ke dalam satu akaun bagi tujuan siasatan.

"Mangsa juga diarah untuk muat naik aplikasi Bank Negara Malaysia yang dihantar melalui pautan aplikasi WhatsApp," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu selepas dimaklumkan pihak bank berhubung 11 transaksi mencurigakan daripada akaun banknya ke akaun bank pihak lain hingga kerugian RM138,101.

"Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan jika menerima panggilan meragukan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Sentiasa buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya. -Sinar Harian