IPOH: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM442,947 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 69 tahun berasal dari Taman Bercham Jaya di sini dan merupakan pesara guru itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya telah tertipu dengan skim pelaburan berkenaan.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati pada Ogos 2023, mangsa yang ketika itu berada di rumah telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bertulisan bahasa Cina iaitu "S4 Pandangan Baru Terhadap Kekayaan Group" menawarkan skim pelaburan wang menggunakan platform "Accerx" yang tidak wujud.

Katanya, suspek yang berperanan sebagai pentadbir kumpulan telah menunjukkan cara-cara menyertai pelaburan tersebut sehingga menarik minat mangsa.

"Sejak itu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 17 kali ke dalam 12 akaun bank berbeza berjumlah RM442,947. Namun apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan, suspek telah meminta mangsa membuat bayaran, barulah mangsa sedar beliau telah ditipu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

-- BERNAMA