ALOR SETAR:

Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang milik sebuah wat Siam di Kubang Pasu berjumlah hampir RM1.8 juta lima tahun lalu.

 

Tertuduh, San Yap Din Ei Yat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekas Timbalan Pengerusi Wat Boonyaram, Padang Sera, Kodiang di Kubang Pasu telah diamanahkan dengan penguasaan terhadap harta tertentu berjumlah RM1.77 juta.

 

Dia didakwa melakukan pecah amanah tersebut antara 7 Mac 2016 hingga 25 Oktober 2016.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun selain dikenakan sebatan dan denda.

 

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 September depan.