Skip to main content

Malaysia

Pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan dalam talian

Azli berkata, suspek mendakwa telah tersilap menghantar mesej kepada lelaki tersebut yang disangka rakan kontraktornya dan berkenalan lebih lanjut dengan mangsa. - Gambar Bernama
Azli berkata, suspek mendakwa telah tersilap menghantar mesej kepada lelaki tersebut yang disangka rakan kontraktornya dan berkenalan lebih lanjut dengan mangsa. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara kerajaan kerugian RM367,950 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pada 31 Julai lepas, mangsa berusia 70 tahun itu telah menerima mesej daripada seorang wanita bernama “Via” melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, suspek mendakwa telah tersilap menghantar mesej kepada lelaki tersebut yang disangka rakan kontraktornya dan berkenalan lebih lanjut dengan mangsa.

"Setelah berkenalan agak lama, suspek memujuk mangsa menyertai skim pelaburan untuk menjana pendapatan selepas pencen. Pada awalnya mangsa telah membuat tiga kali pelaburan dalam jumlah kecil dan mendapat pulangan dijanjikan.

"Setelah itu suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran modal secara beransur-ansur ke beberapa akaun bank yang didakwa sebagai perantara bagi skim pelaburan tersebut. 

"Mangsa yang percaya telah membuat 72 transaksi ke 13 akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM367,950 dari 22 Ogos hingga 30 Sept lepas menggunakan wang hasil jualan tanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya memaklumkan mangsa telah berjaya mendapat jumlah modal dan keuntungan melebihi RM800,000 hasil pelaburan tersebut yang disimpan di sebuah platform.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk mengeluarkan wang tersebut, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM80,765 sebagai yuran proses.

"Mangsa yang mengesyaki ditipu tidak membuat bayaran seperti diarahkan. Dia kemudiannya membuat laporan polis pada 11.49 pagi semalam," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 -- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement