IPOH: Seorang wanita warga emas menjadi mangsa terbaru dengan panggilan penipuan (phone scam) di Perak apabila mengalami kerugian RM113,850 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan penghantaran barang di Taiping.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pesara kerajaan berusia 67 tahun itu, yang juga ibu tunggal, membuat laporan polis selepas diperdaya sindiket yang kononnya penghantar barang, semalam.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dihubungi tiga individu berlainan pada awal Jun lalu yang memperdaya mangsa dengan pelbagai dakwaan mencurigakan.

"Mangsa menerima satu panggilan telefon daripada suspek pertama memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran barang dan memaklumkan ada bungkusan di dalamnya terdapat kad pengenalan mangsa yang dihantar ke Perlis.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan suspek kedua yang didakwa 'pegawai polis' dan memaklumkan mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum disambungkan pula kepada seorang pegawai atasan berpangkat 'Dato'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata mangsa kemudian diarahkan memberi kerjasama agar tidak ditangkap sehingga mangsa bersetuju mendedahkan semua akaun bank miliknya agar tidak dibekukan.

"Suspek telah mengarahkan mangsa untuk membuka sebuah akaun di Bank Islam dan perlu masukkan kesemua wang mangsa ke dalam akaun berkenaan.

"Mangsa yang ketakutan dan risau ditangkap telah bertindak mengeluarkan semua wang simpanan berjumlah RM101, 850 ke dalam akaun Bank Islam terbabit termasuk RM10, 900 turut di depositkan ke dalam satu akaun CIMB yang diberikan suspek," katanya.

Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan hanya menyedari dirinya ditipu selepas melakukan pemeriksaan lanjut di Bank Islam cawangan Taiping, semalam, di mana terdapat lapan transaksi pindahan berjumlah RM102, 950 kepada tiga akaun tidak dikenali, Rabu lepas.

"Selepas menyedari ditipu mangsa terus membuat laporan polis dan kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Sabtu lalu, seorang penyelia wanita syarikat swasta berusia 38 tahun di Teluk Intan mengalami kerugian RM217,000 dengan sindiket penipuan penghantaran barang menggunakan modus operandi sama.

-- BERNAMA