Pesawah KADA rugi lebih RM2.3 juta akibat banjir

Khalid berkata kerugian itu berpunca daripada kemusnahan tanaman padi membabitkan 269 pesawah di daerah Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok berkeluasan 741.78 hektar. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merekodkan kerugian melebihi RM2.3 juta susulan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri itu baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Pesawah di bawah seliaan KADA mengalami kerugian melebihi RM2.3 juta akibat banjir MTL yang merosakkan tanaman padi di daerah Tumpat, Pasir Puteh, dan Bachok.
- Sebahagian besar pesawah telah menerima pampasan melalui Skim Takaful Tanaman Padi dengan jumlah melebihi RM2.2 juta, yang memberi bayaran sebanyak RM3,000 setiap hektar tanaman padi yang terjejas.
- KADA mengalokasikan RM700,000 untuk membersihkan sistem saliran dan pengairan selain mendorong penanaman padi musim kedua, sambil menekankan perlunya pembinaan empangan bagi pengurusan air ketika hujan dan kemarau.
"Pampasan diberikan pada kadar RM3,000 bagi setiap hektar tanaman padi yang terjejas dan melebihi tempoh 76 hari, dengan tempoh kelulusan dianggarkan antara 30 hingga 60 hari," katanya selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025 KADA di sini hari ini.
Khalid berkata kira-kira 90 peratus daripada 7,200 pesawah di bawah seliaan KADA mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi bagi melayakkan mereka menerima pampasan sekiranya tanaman terjejas akibat bencana termasuk banjir.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi bayaran premium skim berkenaan manakala pesawah hanya perlu mendaftar untuk menikmati manfaat itu.
"Baki pesawah yang belum mendaftar kebanyakannya berdepan masalah dokumentasi tanah," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata KADA memperuntukkan RM700,000 bagi kerja-kerja pembersihan sistem saliran dan pengairan melibatkan 58 kilometer kawasan di bawah seliaan agensi itu.
"Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan risiko dan kesan banjir pada masa hadapan, sekali gus meminimumkan kerosakan tanaman padi sekiranya berlaku gelombang kedua," katanya.
Beliau turut memaklumkan penanaman padi musim kedua tahun ini telah bermula pada 1 Dis lepas dan keperluan pembinaan empangan bagi pengurusan lebihan air ketika musim hujan serta kegunaan semasa kemarau.
"Namun, urusan pembinaan empangan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran bukan KADA," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

