KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Johari Harun adalah seorang yang tegas, komited bekerja serta sangat prihatin dengan kebajikan rakyat dan rakan.

Keperibadiannya menjadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu seorang yang disenangi dan dihormati ramai dan pemergian beliau dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam mengejutkan banyak pihak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tokoh korporat berusia 53 tahun itu adalah seorang yang lembut tutur katanya dan menghormati orang lain terutama mereka yang lebih tua serta berpengalaman.

"Kami ibarat abang dan adik, sangat rapat kerana berada dalam UMNO. Selepas dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang, kami juga banyak berbincang kerana ada portfolio beliau disandang oleh saya sebelum ini.

"Malah kami sepatutnya ada perbincangan semalam memandangkan kedua-dua kami ada urusan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang namun tidak kesampaian kerana Allahyarham terus keluar walaupun pada awalnya sudah berkata okey... mungkin beliau mengejar masa," katanya semasa dihubungi di sini.

Mohd Sharkar merupakan Exco Pahang dan memegang portfolio alam sekitar sebelum DUN negeri itu dibubarkan tahun lepas.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Piatu di Bentong, Amir Rozaini Abdul Rani pula berkata, Allahyarham merupakan seorang yang teliti dan akan memastikan setiap tugasan diselesaikan segera terutama jika membabitkan kebajikan murid.

Berkongsi cerita, Amir Rozaini berkata, Johari pernah hadir merasmikan majlis di sekolah dan ketika itu, beliau meminta bantuan untuk menambah susur gajah (laluan beratap) bagi kemudahan murid dan tanpa disangka, pihak berkaitan hadir bagi tindakan susulan dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun, Amir Rozaini berkata, tindakan segera itu bukan perkara luar biasa kerana ia adalah keperibadian Allahyarham sejak beliau bekerja sebagai setiausaha kerja kepada Johari selama dua tahun bermula pada 2008.

"Ketika itu, Allahyarham merupakan Ketua Pemuda UMNO Bentong dan mudah bergurau dengannya. Tapi semakin meningkat usia dan bertambah tanggungjawab, beliau lebih tegas terutama semasa bekerja dan kena sentiasa bersedia dengan jawapan kerana beliau sering membuat susulan bagi kerja yang diberikan.

"Namun begitu sikap prihatinnya masih kuat. Jika mendengar ada kematian atau ada yang sakit, beliau sedaya upaya akan hadir bertemu atau jika tidak, akan menghantar wakil," katanya.

Amir Rozaini berkata, beliau baru bertemu dengan Johari pada Selasa di sebuah majlis di Bentong semasa Allahyarham menyerahkan cek sumbangan kerajaan negeri untuk kegunaan sekolah dan berkali-kali berpesan supaya wang itu digunakan sebaiknya.

[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menyifatkan Johari, yang dikenalinya sejak beliau bertugas di negeri itu pada 2020, sebagai seorang yang kerap berpesan tentang kepentingan berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat.

"Ini peringatan yang kerap diberikan setiap kali berjumpa atau pada majlis melibatkan bomba. Sebelum dilantik sebagai Exco, beliau ada bertanya mengenai kebajikan kami dan keprihatinan itu semakin bertambah bila kami ini secara rasminya berada di bawah portfolio Allahyarham," katanya.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Johari, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang komited dengan amanah yang diberikan walaupun masih baru menyandang jawatan dalam kerajaan negeri.

Johari, yang berada dalam senarai penumpang, merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.


Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2:08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Beliau berkata, hubungan pertama oleh pesawat itu dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang ialah pada 2.47 petang dan kebenaran untuk mendarat telah diberikan pada 2.48 petang.

Katanya, pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat itu.

-- BERNAMA