MALAYSIA
Peserta perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza diingatkan patuhi undang-undang

Perhimpunan anjuran Sekretariat H4G dan Persatuan Ulama Malaysia itu dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 peserta termasuk daripada gabungan NGO, mahasiswa dan masyarakat awam. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan penganjur dan peserta perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza yang dijadualkan esok untuk mematuhi undang-undang sepanjang program.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam kenyataan hari ini berkata walaupun hak berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan Persekutuan namun ia perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan tidak melakukan perkara dilarang.
Antara perkara dilarang ialah membawa sebarang objek tajam seperti besi dan kayu, membawa senjata seperti pisau, parang dan barangan berbahaya lain serta membawa atau membakar mercun, bunga api, bom asap atau suar.
Peserta juga diingatkan tidak menulis, membawa atau mempamerkan sepanduk berunsur perkauman, agama dan institusi Raja, tidak mengeluarkan ucapan berunsur fitnah atau tuduhan palsu serta tidak membawa kanak-kanak.Selain itu, peserta diingatkan tidak merusuh atau melawan arahan pihak berkuasa dan tidak menerbangkan dron di kawasan perhimpunan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau. PDRM komited memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan kelancaran aktiviti harian serta ekonomi," katanya.
Sulizmie Affendy berkata PDRM menjangkakan berlaku kesesakan jalan raya menghala pusat bandar berikutan perhimpunan itu namun kawalan lalu lintas akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.
Perhimpunan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dan Persatuan Ulama Malaysia itu dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 peserta termasuk daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.
Pertanyaan boleh diajukan menerusi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi 03-26977099.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami