SUKAN
Isu dokumentasi: KBS tolak campur tangan politik, gesa proses rayuan FIFA dipercepat

Adam Adli berkata KBS menyokong langkah FAM untuk mengemukakan rayuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj yang cuba menjejaskan sukan bola sepak negara perlu ditolak sama sekali, susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain Harimau Malaya.
Ringkasan AI
- KBS menolak sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj dalam sukan bola sepak dan menyokong langkah FAM untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA, dengan penekanan kepada integriti dan ketelusan dalam proses tersebut.
- Timbalan Menteri Belia dan Sukan menegaskan bahawa reputasi bola sepak Malaysia perlu dipertahankan melalui proses rayuan yang adil dan telus, demi menghormati kepentingan penyokong serta masyarakat umum.
- Tindakan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan melibatkan denda dan penggantungan atas dakwaan pemalsuan dokumen, namun FAM menegaskan semua dokumentasi telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Reputasi bola sepak Malaysia mesti dipertahankan. Proses rayuan perlu berjalan secara telus dan adil, demi menghormati kepentingan penyokong serta masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan di laman sosial X.
Beliau turut mengingatkan bahawa sukan harus kekal bebas daripada pengaruh luar yang boleh menjejaskan semangat kesukanan dan pembangunan atlet negara.
“Sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj yang cuba menjejaskan sukan ini perlu ditolak sama sekali,” tegasnya.
FAM dan tujuh pemain warisan negara sebelum ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.
Ketujuh-tujuh pemain itu beraksi untuk Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Kumpulan F Piala Asia Arab Saudi 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM bagaimanapun menerusi kenyataan berkata akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berkenaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami