SEKINCHAN: Tapak sampah haram di pesisir pantai Kampung Parit 7, Sungai Labu di sini sering dijadikan sasaran segelintir penduduk membuang sampah haram di kawasan sekitarnya.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEB Waste Management (KDEBWM) Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, penduduk kemudian membakar sampah seterusnya meninggalkan kesan sebagai tempat pembuangan sampah.

Menurutnya, keadaan itu mengundang pihak tidak bertanggungjawab seperti pemain industri dan pengusaha kedai makan mengambil kesempatan untuk membuang sampah di lokasi itu.

"Tapak sampah haram itu adalah di kawasan yang menjadi kebiasaan penduduk membuang sampah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mahfuzah berkata, pelbagai jenis sampah haram dibuang di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

"Antara sampah yang dikesan terdiri daripada sampah industri, sisa sampah rumah, kedai makan dan kebun.

"Kebiasaannya sampah ini bercampur dengan sampah pukal yang dibuang sesuka hati oleh masyarakat tempatan," ujar beliau.

Justeru, katanya, pasukan operasi KDEBWM Cawangan Sabak Bernam turut membantu membuat pembersihan sampah haram selepas menerima arahan daripada MDSB atau mana-mana agensi bertanggungjawab di kawasan tersebut.

"KDEBWM menyediakan jentera bagi operasi pembersihan keseluruhan kawasan terbabit," jelasnya.

Beliau memberitahu, beberapa langkah diambil termasuk tapak sedia ada ditutup daripada sebarang aktiviti pencemaran dan meletakkan papan tanda larangan dan memperkuatkan penguatkuasaan.

"Pihak MDSB juga telah mencadangkan kepada pihak bertanggungjawab supaya menjadikan lokasi sampah haram tersebut sebagai tempat rekreasi, tempat jualan atau menanam bunga di situ," jelasnya. -Sinar Harian