Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony akan dituduh di Mahkamah Sesyen pagi esok bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau ketika ditemui di bawah pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu, pada Rabu mengesahkan perkara tersebut.

Peter dijangka dituduh atas kes dakwaan salah laku urus niaga tanah RISDA di Tongod beberapa tahun lalu.

Katanya pertuduhan mahkamah terbabit akan berlangsung kira-kira jam 8 pagi esok.

“Ini bukanlah kes baharu, tidak melibatkan kementerian, tidak melibatkan kes kerajaan Sabah.

“Tetapi ini adalah kes lama dahulu apabila sahaja berlaku persengketaan antara politik pada tahun 2013 dan 2014," jelasnya.

Terdahulu, Peter yang merupakan Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah itu dipanggil ke pejabat SPRM kali kedua pada Rabu.

Pertuduhan beliau dijangka di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Beliau yang dalam pada masa sama turut akur dengan arahan tersebut dan menyifatkan pertuduhan berkenaan adalah bersifat politik semata-mata.

“Saya percaya ini akan berlaku kepada beberapa ahli politik yang tidak menyokong kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tetapi bagi kita, ini akan menguatkan kedudukan kita di negeri Sabah ini,” katanya.